Astro Malaysia Holdings Bhd merangkul anugerah berprestij di majlis The Edge Billion Ringgit Club & Corporate Awards 2019 yang sekali gus menunjukkan kecemerlangan syarikat tersebut dalam sektor telekomunikasi dan media serta sumbangannya dalam industri kewangan.

Anugerah tersebut ialah Pertumbuhan Keuntungan Tertinggi Selepas Cukai Lebih Tiga Tahun untuk Telekomunikasi dan Media.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan menerima anugerah tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank Malaysia Bhd, Datuk Ong Eng Bin dan Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The Edge, Datuk Ho Kay Tat pada majlis gala yang diadakan di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada Khamis.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Dr Mahathir (tengah) bersama-sama pemenang anugerah The Edge Billion Ringgit Club & Corporate Awards 2019. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR


Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan (kedua dari kanan) menerima anugerah Pertumbuhan Keuntungan Tertinggi Selepas Cukai Lebih Tiga Tahun untuk Telekomunikasi dan Media. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Dianjurkan Kumpulan The Edge Media, sebanyak 60 anugerah diberikan pada tahun ini bagi meraikan syarikat korporat terbaik di Malaysia dan organisasi yang paling bertanggungjawab.

Antaranya ialah Maxis Bhd yang memenangi anugerah Pertumbuhan Keuntungan Tertinggi Selepas Cukai Lebih Tiga dalam kategori Syarikat Besar dengan Permodalan Pasaran RM10 bilion hingga RM40 bilion.

Selain itu, anugerah Pertumbuhan Keuntungan Tertinggi Selepas Cukai Lebih Tiga untuk sektor Produk dan Perkhidmatan Pengguna diraih Kumpulan AirAsia Bhd.

CIMB Group Holdings Bhd pula merangkul dua anugerah iaitu Permodalan Pasaran RM10 bilion dan Ke Atas dalam sektor Perkhidmatan Kewangan dan Syarikat Besar dengan Permodalan Pasaran Melebihi RM40 bilion.

The Edge Billion Ringgit Club ditubuhkan pada tahun 2010 bagi mengiktiraf syarikat-syarikat berprestasi tinggi di Malaysia yang tersenarai di bursa awam dengan modal melebihi RM1 bilion.

Pada 2018, Astro telah meraih anugerah yang sama pada majlis gala The Edge Billion Ringgit Club 2018.