Skip to main content

Malaysia

Lebih 100,000 anggota, 2,500 bot siap siaga hadapi Monsun Tmur Laut - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.  - Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Kerajaan menggerakkan lebih 100,000 anggota pelbagai agensi dan menyediakan hampir 2,500 bot bagi menghadapi Monsun Timur Laut tahun ini.
  • Sebanyak 3,045 lokasi titik panas banjir dan 31 kawasan tanah runtuh dikenal pasti, dengan pelbagai aset operasi disediakan untuk sokongan penyelamatan.
  • Kerajaan menyalurkan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir, termasuk mereka yang tidak berpindah ke PPS tetapi berdaftar di pusat pendaftaran mangsa.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggerakkan lebih 100,000 anggota daripada pelbagai agensi tindak balas dan teknikal serta menyediakan hampir 2,500 bot bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kesiapsiagaan itu diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi pendekatan menyeluruh melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa negeri dan daerah serta rakan strategik.

“Dari segi sumber manusia, lebih 100,000 anggota daripada agensi tindak balas dan agensi teknikal telah pun digerak atur bagi menghadapi MTL ini dan kekuatan ini turut disokong dengan pelbagai aset dan juga peralatan operasi.

Advertisement

“Antaranya hampir 2,500 buah bot, lebih daripada 2,000 kenderaan pacuan empat roda atau 4x4, lebih daripada 1,100 buah lori, 28 pesawat udara dan lebih 35,000 unit jaket keselamatan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai persediaan kerajaan dari segi kesiapsiagaan pasukan penyelamat, aset dan bantuan kebajikan termasuk kewangan bagi menghadapi bencana sepanjang MTL serta insentif kepada bdan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang membantu mangsa banjir.

Advertisement

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata kerajaan turut mengenal pasti 3,045 lokasi titik panas banjir serta 31 kawasan titik panas tanah runtuh, selain menyediakan aset Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menyokong operasi menyelamat.

Beliau berkata JPS menyediakan 300 pam bergerak, 30 set jana kuasa dan 15 lori kren manakala tujuh set Bailey Bridge disediakan NADMA bagi kegunaan ketika bencana.

Mengenai mekanisme penyelarasan penglibatan NGO dan sukarelawan serta penyertaan wakil rakyat dalam jawatankuasa bencana daerah, Ahmad Zahid berkata sebanyak 159 NGO telah diselaraskan di peringkat nasional, negeri dan daerah.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata NGO yang tidak beruniform diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala penyelarasan turut melibatkan NGO yang digerakkan parti-parti politik.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata kerajaan menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dengan mengutamakan pemberian bantuan ketika mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS), selain membenarkan mereka yang tidak berpindah ke PPS namun terjejas, untuk menerima bantuan sekiranya berdaftar di pusat pendaftaran mangsa banjir.

Berhubung cadangan bantuan kepada peniaga kecil, beliau berkata perkara itu akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Pusat untuk pertimbangan.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai kelayakan BWI RM1,000 bagi mangsa yang tidak berpindah ke PPS, bantuan kepada peniaga kecil terjejas serta cadangan supaya kelayakan bantuan ditentukan berdasarkan impak sebenar bencana.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement