Skip to main content

Bisnes

Astro sekali lagi raih anugerah ESG berprestij

Astro ESG AWARDS
Pengiktirafan itu merupakan pencapaian tahun kedua berturut-turut buat Astro di anugerah berkenaan selepas meraih Anugerah Emas dalam kategori Telekomunikasi dan Media pada The Edge ESG Awards 2025.- Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengiktirafan Astro sebagai Syarikat Berprestasi Terbaik dalam kategori Telekomunikasi dan Media pada The Edge Malaysia ESG Awards 2026 disifatkan sebagai satu tanggungjawab untuk terus mencipta impak bermakna dan berkekalan kepada Malaysia.

Ketua Pegawai Kawal Selia dan Hal Ehwal Korporat Astro, Laila Saat berkata, sebagai syarikat media dan kandungan, komitmen itu diterjemahkan dengan memanfaatkan capaian serta pengaruh Astro secara positif, termasuk menerusi kandungan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Sejak beberapa tahun lalu, Astro telah menghasilkan lebih 12,000 jam kandungan ‘Voice for Good’, di samping terus memberi tumpuan kepada keselamatan digital, keterangkuman, media bertanggungjawab, perlindungan harta intelek serta menyokong ekosistem kreatif Malaysia.

“Kami amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini, namun bagi kami, ESG bukan sekadar mengenai pencapaian sasaran (kerana) sebagai sebuah syarikat media dan kandungan, kami mempunyai tanggungjawab untuk menggunakan capaian dan pengaruh kami secara positif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI selepas menghadiri The Edge Malaysia ESG Awards 2026 di ibu negara pada Selasa. 

Pengiktirafan itu merupakan pencapaian tahun kedua berturut-turut buat Astro di anugerah berkenaan selepas meraih Anugerah Emas dalam kategori Telekomunikasi dan Media pada The Edge ESG Awards 2025.

Komitmen Astro terhadap aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) turut dicerminkan menerusi penilaian Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia pada Disember 2025 oleh penyedia indeks global, FTSE Russell.

Astro Malaysia Holdings mengekalkan skor ESG 4.1 daripada 5, sekali gus kekal dalam kelompok satu peratus teratas syarikat media di peringkat global dengan kedudukan persentil ke-100.

Must Watch Video

Advertisement