LONDON: Gianni Infantino percaya beliau mendapat sokongan "majoriti yang amat besar" dalam kalangan negara anggota bola sepak ketika berusaha untuk dipilih semula sebagai presiden badan induk bola sepak dunia, FIFA, lapor PA Media/dpa.
Warga Switzerland itu berdepan desakan meluas supaya meletak jawatan sebagai Presiden FIFA sejak mengemukakan rancangan untuk menjual sebahagian kepentingan dalam Piala Dunia awal tahun ini.
Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) serta Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) merupakan antara badan yang paling lantang mendesak beliau berundur, namun Infantino berjaya bertahan daripada tekanan berkenaan.
Beliau berhasrat bertanding bagi penggal keempat sebagai presiden pada pemilihan FIFA Mac depan dan kelihatan yakin memperoleh sokongan yang diperlukan.
Infantino memberitahu BBC Sport: "Seperti yang anda tahu, saya dipilih oleh 211 persatuan anggota dari seluruh dunia.
"Saya fikir perkara penting dalam organisasi seperti FIFA ialah wujudnya pelbagai pandangan dan pendapat yang berbeza.
"Tetapi jika kita benar-benar serius mengenai demokrasi, proses demokrasi dan percaya bahawa setiap orang di seluruh dunia mempunyai hak mengundi serta suara yang sama, bahawa bola sepak milik semua, maka kita juga perlu menghormati pandangan majoriti yang amat besar.
"Saya baru sahaja pulang dari Tokyo, apabila Konfederasi Bola Sepak Asia memberikan sokongan penuh kepada saya. Saya juga berada di Cape Verde, semua negara anggota Konfederasi Bola Sepak Afrika menyatakan sokongan kepada saya. Saya sedang berhubung dengan semua persatuan di seluruh dunia."
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa