Dalam memastikan graduan dihasilkan institusi pengajian tinggi digunakan dengan sebaiknya bagi membangunkan negara, kerajaan melalui Bajet 2017 perlu memberi fokus dalam mewujudkan lebih banyak insentif kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kepada graduan berkenaan.

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata menjadi kerugian dari segi tenaga manusia sesebuah negara apabila graduan dibiarkan tidak mempunyai pekerjaan atau sebarang latihan yang diperlukan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka memenuhi keperluan pemain
industri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan mekanisme itu memerlukan komitmen penuh GLC terlibat kerana tiada gunanya kerajaan menyediakan banyak insentif tetapi dalam masa sama syarikat berkenaan tidak mempunyai pelan dan program berkesan dalam menyediakan peluang pekerjaan serta latihan kepada graduan.

"Dengan cara ini, graduan terbabit boleh mendapatkan kemahiran dan pengalaman atau sebuah permulaan dalam kerjaya mereka di syarikat GLC berkenaan sebelum melangkah ke bidang pekerjaan lain atau membuka perniagaan sendiri sekiranya mereka mahu.

"Usaha memperkasakan graduan menganggur dengan mekanisme ini amat diharapkan kerana mereka bakal mewarisi kepimpinan masa depan. Dengan pengalaman dan kemahiran, mereka juga boleh berdikari menjadi usahawan dan tidak mengharapkan kerja makan gaji semata-mata," katanya kepada Bernama di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada 21 Okt ini.

Mohd Ali berkata selain graduan, inisiatif secara terus kepada rakyat juga perlu diperkasa dalam bajet tersebut berhubung perumahan dan infrastruktur untuk rakyat terutama di kawasan luar bandar.

"Isu perumahan sering dibangkitkan tetapi tidak ada penyelesaian jangka panjang bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri," katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif perumahan mampu milik dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) namun masih ramai yang gagal membeli rumah kerana kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan terutama daripada pihak bank.

Justeru, katanya, melalui Bajet 2017 perlu ada mekanisme untuk memastikan golongan berkenaan mendapat pinjaman kewangan bagi pembelian rumah sebagai alternatif pinjaman kewangan di bank atau institusi kewangan lain.

"Saya yakin Perdana Menteri akan mengambil kira pandangan ini dalam pembentangan bajet kali ini kerana ini semua merupakan keperluan rakyat golongan sasar yang amat memerlukan perhatian kerajaan," katanya.