Ringkasan AI
- Penjawat awam negeri Johor akan menerima insentif khas dua setengah bulan gaji sebagai penghargaan atas khidmat mereka.
- Seramai 145,648 penjawat awam Persekutuan layak menerima insentif khas RM500 seorang, diagihkan secara berperingkat bermula Disember ini.
- Bantuan Kasih Johor sebanyak RM1,000 seorang turut diberikan kepada 200 pengamal media dengan peruntukan keseluruhan RM200,000.
ISKANDAR PUTERI: Penjawat awam negeri Johor bakal menerima insentif khas sebanyak dua bulan setengah gaji sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti mereka kepada pentadbiran dan pembangunan negeri.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata khidmat bakti yang dicurahkan oleh seluruh penjawat awam negeri wajar diberikan pengiktirafan.
"Saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian Insentif Khas Penjawat Awam Negeri Johor sebanyak dua setengah bulan gaji kepada kakitangan kerajaan negeri Johor serta kakitangan awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh Kerajaan Johor yang akan disalurkan pada penghujung Disember ini," katanya.
Beliau mengumumkan insentif tersebut ketika membentangkan Belanjawan Johor 2027 bertemakan ‘Johor Maju, Rakyat Sejahtera’ pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini.
Dalam pembentangan yang sama, beliau berkata Kerajaan Negeri Johor turut meneruskan pemberian insentif khas kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri itu bagi tahun kedua berturut-turut dengan peruntukan sebanyak RM72.82 juta.
Sebanyak 145,648 penjawat awam Persekutuan yang layak bakal menerima insentif khas RM500 seorang yang disalurkan secara berperingkat, iaitu RM300 pada Disember ini dan RM200 pada Februari tahun depan.
Onn Hafiz berkata penjawat awam Persekutuan memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan terus dapat dinikmati rakyat.
Beliau berkata pemberian insentif khas berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan negeri serta membantu meringankan beban perbelanjaan harian penjawat awam dan keluarga dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
Onn Hafiz turut mengumumkan Bantuan Kasih Johor bagi pengamal media sebanyak RM1,000 seorang yang akan memanfaatkan 200 penerima dengan peruntukan keseluruhan RM200,000.
Terdahulu beliau membentangkan Belanjawan Johor 2027 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.07 bilion dan unjuran lebihan sebanyak RM2.33 juta.
-- BERNAMA