KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk meluaskan kenaan duti eksais terhadap produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ia termasuklah minuman berasaskan coklat, koko, malt, kopi dan teh dan cadangan itu dibuat dalam usaha membawa rakyat Malaysia ke arah gaya hidup sihat.

“Kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape,” katanya seraya tersenyum melihat Ahli Parlimen di Dewan Rakyat ketika membentangkan Bajet 2022 hari ini.


Bajet 2022: Kerajaan bercadang meluaskan kenaan duti eksais

BACA SEMUA LAPORAN MENGENAI BAJET 2022 DI SINI


Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan, kerajaan akan bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance untuk meningkatkan akses dan capaian respons perkhidmatan ambulan.

“Kerajaan juga telah bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun.

“Ia bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan sebagai persediaan pengajian kepakaran mereka.

“Sebagai tambahan, sukacita diumumkan kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian,” ujarnya.

Katanya lagi, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan Agenda Nasional Malaysia Sihat.

“Dalam sesi sembang santai bersama anak muda, Dr Shantesh Kumar telah membangkit isu berkenaan penyakit jarang jumpa.

“Oleh itu, kerajaan akan memantapkan pengurusan Klinikal Penyakit Jarang Jumpa di Malaysia seperti lisosomal,” jelas Tengku Zafrul lagi.