KUALA LUMPUR : Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) melahirkan rasa kecewa dengan pengumuman terbaharu oleh kerajaan dalam menaikan kadar eksais cukai terhadap semua jenis produk cecair yang digunakan bagi rokok elektrik.

Presidenya Profesor Datuk Dr Lekhraj Rampal dalam satu kenyataan berkata, pihaknya konsisten untuk terus menyarankan pihak kerajaan agar mengharamkan penggunaan rokok elektronik secara total.

“Sejak enam tahun lalu pihak MCTC telah menyarankan kepada kerajaan agar mengharamkan penggunaan Produk vape atau e-cigarette dan semua jenis penggunaan nikotin elektronik.

“Produk vape tidak membantu orang ramai untuk berhenti merokok,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, menerusi kajian yang telah dijalankan, tiada bukti yang menunjukkan bahawa penggunaan produk tersebut membantu perokok untuk berhenti.

Malah jelasnya, hasil kajian menunjukan penggunaan produk tersebut hanya menimbulkan masalah kesihatan yang lain termasuk kanser.

“Undang-undang Malaysia di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 tidak digunakan sebaik mungkin. Malah kerajaan sebaliknya mengambil pendekatan untuk membenarkan ia digunakan secara berleluasa," jelasnya lagi.

Pihak MCTC juga jelasnya, menggesa agar kerajaan tidak melupakan janji untuk memperkemas perancangan untuk membantu perokok untuk berhenti dari tabiat itu.

“Kami menggesa kerajaan supaya tidak melupakan janji-janji yang dibuat untuk membantu perokok dalam perjuangan mereka untuk berhenti merokok. 

"Semua cadangan 'mulia' tentang meningkatkan hasil kerajaan juga harus memastikan dana yang diperoleh digunakan untuk membiayai inisiatif berhenti merokok di pelbagai peringkat di sektor awam dan swasta, terutamanya di peringkat penjagaan primer,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau berharap agar kerajaan juga tidak melupakan RUU Kawalan Tembakau yang meminta agar Kementerian Kesihatan merangka dan membentangkan kawalan tembakau dan rang undang-undang untuk mempunyai kawalan menyeluruh terhadap produk tembakau dan produk yang baharu muncul.