Skip to main content

Teknologi

Google bakal lancar ciri AI Try On di Malaysia, bantu pengguna cuba pakaian, kasut secara maya

Sumber: AMANZ
Menurut Google, sistem ini memanfaatkan AI generatif untuk mensimulasikan cara pakaian atau kasut dipakai, termasuk kesan lipatan kain, padanan saiz serta kesesuaian pada bentuk tubuh pengguna. -Foto Amanz

GOOGLE bakal melancarkan ciri kecerdasan buatan (AI) terbaharu, Google Try On, di Malaysia secara berperingkat dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Ciri tersebut membolehkan pengguna mencuba pakaian dan kasut secara maya sebelum membuat pembelian dalam talian, lapor Amanz.

Teknologi itu sebelum ini diperkenalkan di Amerika Syarikat lebih setahun lalu selepas didedahkan pada acara Google I/O.

Menurut Google, sistem ini memanfaatkan AI generatif untuk mensimulasikan cara pakaian atau kasut dipakai, termasuk kesan lipatan kain, padanan saiz serta kesesuaian pada bentuk tubuh pengguna.

Pengguna hanya perlu memuat naik imej penuh tubuh ke dalam profil untuk membolehkan sistem memproses data tersebut.

“Apabila pengguna menemui item yang ingin dicuba menerusi Google Search, mereka hanya perlu menekan butang ‘Try It On’ yang tersedia.

“Ciri ini boleh diakses melalui Google Images dan Google Shopping,” menurut kenyataan itu.

Sistem berkenaan kemudian akan menjana visual pakaian atau kasut yang dipilih pada imej pengguna dalam tempoh beberapa saat.

Selain pakaian, fungsi itu turut menyokong simulasi kasut termasuk kasut sukan, kasut formal dan kasut bertumit menggunakan imej yang sama.

Penganalisis industri berpandangan pengenalan teknologi tersebut berpotensi membantu pengguna membuat keputusan pembelian lebih tepat, sekali gus mengurangkan isu kesilapan saiz serta kadar pemulangan barangan dalam e-dagang.

 

Must Watch Video

Advertisement