KOTA KINABALU: Pembentangan Bajet 2023 dilihat selari dengan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan tiada rakyat yang tertinggal dalam pembangunan arus perdana, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Hajiji yang mengikuti pembentangan bajet yang dilakukan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau mengalu-alukan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah sebanyak RM6.3 bilion pada tahun hadapan.

Sambil mengucapkan tahniah, beliau menyifatkan Bajet 2023 itu inklusif selain kesinambungan momentum pemulihan negara dalam peralihan fasa endemik negara.

"Ia merupakan suatu pertambahan sebanyak 20.45 peratus berbanding RM5.2 bilion yang diperuntukkan kepada Sabah di dalam belanjawan negara pada tahun ini.

"Sabah mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memberi penekanan terhadap pembangunan negeri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga mengalu-alukan komitmen Kerajaan Pusat dalam memastikan keselamatan di Sabah dengan penambahan aset kepada Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) di Lahad Datu.

Katanya, peruntukan RM1.2 bilion bagi membaik pulih sekolah daif di Sabah juga menunjukkan komitmen Kerajaan Pusat untuk merapatkan jurang pendidikan di  negeri itu.

Selain itu, Hajiji turut memuji langkah Kerajaan Pusat untuk memberikan peruntukan kepada projek pembangunan utama sekali gus memastikan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah akan siap tahun 2024.

"Tengku Zafrul juga memaklumkan akan membangunkan jalan raya menghubungkan Kalabakan ke Simanggaris, Indonedia.

"Selain itu beliau turut memperuntukkan RM250 juta bagi pembangunan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar tahun depan," katanya.

Ketua Menteri menambah, Sabah mengalu-alukan komitmen Kerajaan Pusat dalam meringankan beban rakyat dengan meningkatkan jumlah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).