Skip to main content

Bisnes

Bank Islam aktifkan sokongan kewangan untuk pelanggan

Bank Islam
Menurut Bank Islam, bantuan akan disediakan melalui penyelesaian yang disesuaikan dan berasaskan keperluan untuk pelanggan individu dan perniagaan. - Foto Bank Islam

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad mengaktifkan "Program Prihatin" untuk menyediakan bantuan kewangan bersasar kepada pelanggan yang terjejas akibat ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang berterusan.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu memaklumkan langkah berkenaan bertujuan meringankan tekanan kewangan segera, menyokong kesinambungan aliran tunai dan memperkukuh daya tahan pelanggan dalam tempoh ketidaktentuan yang semakin meningkat ini.

Advertisement

"Bantuan akan disediakan melalui penyelesaian yang disesuaikan dan berasaskan keperluan untuk pelanggan individu dan perniagaan, dengan mengambil kira keadaan kewangan masing-masing.

"Di bawah program ini, pelanggan Pembiayaan Rumah-i, Peribadi-i dan Kenderaan-i yang layak boleh memohon penangguhan pembayaran sementara tertakluk kepada terma dan syarat," menurut bank itu.

Dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat, Bank Islam mengakui bahawa kesannya terhadap individu dan perniagaan adalah berbeza-beza serta akan terus berubah.

"Bank kekal komited sepenuhnya untuk bekerjasama rapat bersama pelanggan dengan memahami keadaan khusus mereka serta menyediakan bantuan kewangan yang tepat pada masanya dan bersesuaian," jelasnya.

Bantuan boleh dimohon melalui pelbagai saluran, termasuk bahagian Bantuan & Sokongan Pembiayaan di laman web korporat Bank Islam di www.bankislam.com, bertemu pengurus perhubungan masing-masing, berkunjung ke cawangan Bank Islam terdekat, menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-26 900 900 atau melalui e-mel ke [email protected].

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video