KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing mara ke final Terbuka Perancis 2026 selepas menundukkan pasangan China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dalam aksi separuh akhir di Arena Grand Paris, hari ini.
Pasangan yang menghuni ranking ke-31 dunia itu hanya mengambil masa 31 minit untuk menewaskan lawan mereka yang merupakan pilihan keenam, 21-13, 21-9.
Di final, Pang Ron-Pei Jing bakal berdepan pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara pilihan utama dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dan gandingan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue
Kejayaan itu merupakan penampilan final kedua bagi pasangan negara pada musim ini, sekali gus berpeluang mencatat pencapaian lebih baik selepas muncul naib juara apabila tewas kepada Yan Zhe-Dong Ping pada Masters China, September lepas
-- BERNAMA