Inisiatif seperti cadangan penubuhan 'Bank of Johor' oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Khamis, seharusnya ditingkatkan manfaatnya dan tidak terhad hanya kepada pemberian pinjaman perumahan semata-mata.

Ini termasuk memenuhi keperluan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim yang memberikan pandangan itu berkata, fokus juga seharus diberikan kepada kemudahan mendapatkan bantuan kewangan dengan penubuhan lebih banyak bank butik dan bank komuniti.

Ini kerana menurutnya kesukaran mendapatkan bantuan kewangan merupakan antara cabaran utama bagi PKS hari ini.


"Dalam konteks ini, pada saya, saya selalu mengambil pendekatan yang akan menarik perhatian usahawan.

"Ini bermakna sekiranya sesuatu pekhidmatan itu ialah perhidmatan yang relevan satu perkhidmatan yang boleh kita beri offering dan perkhidmatan itu efektif maka mereka akan datang kepada kita," kata Hafsah selepas pelancaran buku berjudul 'Illustrative Malaysian Private Entities Reporting Standards (MPERS) Financial Statement With Commentaries' di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hafsah berkata pembiayaan bank bukan satu-satunya pilihan kepada PKS untuk mendapat bantuan kewangan.

Ini memandangkan terdapat pembiayaan yang ditawarkan institusi bukan bank seperti pendanaan masyarakat, pembiayaan ekuiti swasta, modal teroka dan pelabur budiman.

Semalam, Sultan Johor semasa perasmian pembukaan penggal Dewan Undangan Negeri Johor memberi cadangan untuk kerajaan negeri menubuhkan 'Bank of Johor' bagi menyediakan perkhidmatan kepada rakyat, termasuk pemberian pinjaman perumahan selain membiayai projek pembangunan.

MPERS wujudkan pengurusan tadbir yang lebih baik

Sementara itu ketika Majlis Pelancaran Buku MPERS di Sasana Kijang pagi tadi, Hafsah berkata, satu standard global bagi PKS mengurus tadbir syarikat harus diwujudkan.

Ini dapat diwujudkan berasas kepada rangka kerja Standard Laporan Entiti Swasta Malaysia (MPERS) sedia ada.

Tambah Hafsah ketika ini, MPERS memberikan syarikat swasta standard laporan kewangan yang bertaraf global.

MPERS juga memberikan syarikat yang mengguna pakai, ketelusan dan meningkatkan keyakinan institusi kewangan dan pelabur.

"Ini merupakan satu buku yang akan jadi panduan kepada semua PKS terutamanya bagi mereka mengetahui selok belok bagaimana menyediakan akaun syarikat dan dengan itu mereka dapat memantapkan lagi pengurusan syarikat masing-masing," kata Hafsah.