Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat berkata ekonomi negara dijangka berkembang dengan lebih sederhana tahun ini ekoran persekitaran ekonomi global yang lebih mencabar.

Ekonomi negara juga dijangka akan dipacu sebahagian besarnya oleh permintaan domestik.

Selain itu perbelanjaan isi rumah juga dijangka akan terus disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan pendapatan boleh guna tambahan hasil langkah-langkah yang diumumkan semasa pengubahsuaian Bajet 2016.

Ia menambah pelaburan keseluruhan juga akan terus disokong oleh pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur dan perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.


Inflasi

Inflasi untuk 2016 dijangka lebih tinggi berbanding 2015 ekoran pelarasan harga dan kadar pertukaran ringgit yang lebih lemah.

Walau bagaimanapun, kesannya dijangka diimbangi oleh harga komoditi yang terus rendah serta inflasi global yang pada amnya lemah.

Persekitaran kewangan domestik

Menurut Bank Negara, keadaan kewangan domestik keseluruhan kekal stabil secara relatifnya sejak mesyuarat MPC yang lalu.

Bank pusat berkata keputusan monetarinya ini akan terus memastikan terdapat mudah tunai yang mencukupi untuk menyokong pasaran wang dan pasaran pertukaran asing berfungsi dengan teratur.

Sistem kewangan juga terus kukuh dengan institusi kewangan beroperasi dengan penampan mudah tunai yang mencukupi.

Sementara pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta juga kekal teguh.

Dasar monetari kekal akomodatif

Bank Negara berkata ia percaya dengan kadar semasa OPR ini, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi.

Bank pusat juga berkata ia sentiasa memantau rapi dan menilai implikasi persekitaran ekonomi global kini terhadap kestabilan harga dan pertumbuhan dalam negeri bagi memastikan dasar monetari kekal konsisten dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

Ekonomi global

Menurut bank pusat, ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana.

Di kebanyakan ekonomi Asia, permintaan domestik terus menjadi enjin pemacu utama ekonomi tatkala prestasi eksport melemah.

Pasaran kewangan antarabangsa juga dilihat masih tidak menentu berikutan peralihan mudah tunai global dan sentimen pelabur.

Pada masa hadapan, prospek pertumbuhan global dijangka lebih mudah dipengaruhi oleh risiko pertumbuhan yang lebih perlahan.

Ini susulan kelemahan semasa yang bersifat kitaran dan struktur, hutang yang berlebihan, penurunan mendadak harga komoditi dan risiko geopolitik yang semakin meningkat.