KUALA LUMPUR: 'Makcik Kiah' dilihat sudah tidak mendapat bantuan melalui Belanjawan 2021 yang diumumkan kerajaan.

Penyelidik Kanan, DM Analytica,  Zouhair Rosli berkata, Bantuan Khas Prihatin yang diberikan kepada golongan bekerja sendiri seperti 'Makcik Kiah' tidak mencukupi dan mereka tetap perlu dibantu tahun hadapan.

"Yang tidak bagusnya Belanjawan 2021 ini ialah, pertama, bantuan untuk Makcik Kiah sudah tidak ada. Sebelum ini  kita ada Bantuan Khas Prihatin, walaupun ada Geran Khas Prihatin, tetapi itu tidak mencukupi iaitu sebab ia one-off. Sebanyak RM3,000 diberi, itu sahaja. Tahun depan Makcik Kiah tak dapat apa-apa melainkan pinjaman," katanya semasa menjadi tetamu program Agenda Awani sempena Belanjawan 2021 di sini pada Jumaat. 

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah memberi contoh 'Makcik Kiah' yang menerima manfaat lebih RM8,600 daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN). 
 
BACA: LAPOR LANGSUNG: Belanjawan 2021 - Teguh Kita, Menang Bersama

Ujarnya, golongan itu perlu perhatian  kerana paling teruk terkesan kerana penularan pandemik COVID-19.

"Kita tengok data sendiri yang menunjukkan begitu. Jabatan Perangkaan menunjukkan walau ramai masuk pasaran buruh atau pengangguran itu rendah, namun yang paling perlahan jumlah mereka masuk ke pasaran buruh ialah mereka yang bekerja sendiri. Perkara  ini harus ini kita fokus. Kita mampu untuk belanja untuk mereka ini," ujar beliau.

Dalam pada itu, subsidi upah yang diumumkan kerajaan selama tiga bulan lagi disifatkan masih terlalu rendah.

"Subsidi gaji dilanjut tiga bulan lagi dan ia hanya sesetengah sektor iaitu peruncitan dan pelancongan. Ini adalah terlalu sedikit. Kita tahu PKS secara keseluruhan mempunyai masalah cash flow. Kalau tak diatasi, kita akan mengakibatkan impak yang negatif kepada pekerjanya.

"Kita ingat ramai yang bekerja di syarikat-syarikat yang besar, namun daripada 100 orang makan yang makan gaji, 60 orang kerja di PKS. Mereka akan kehilangan pekerjaan," tambahnya.

Tambahnya, bantuan subsidi upah yang diberikan ketika ini hanyalah RM600 iaitu merangkumi 25 peratus daripada gaji penengah.

"Singapura beri 75 peratus daripada gaji penengah. Kalau kita naikkan lagi seribu sebulan kepada semua pekerja PKS, kosnya adalah RM37 bilion. Kita mampu belanja untuk mereka," ujar beliau.

Selain itu, dari segi pendidikan, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kemudahan belajar terutama untuk pelajar yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR). 

"Mengenai internet, kita juga perlu sediakan kepada mereka peralatan dan peranti belajar.

"Di kalangan isi rumah PPR, ramai mengggunakan telefon pintar untuk belajar, 80 peratus lagi pelajar di situ tiada laptop," kata beliau lagi.