MELAKA: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyalurkan peruntukan berjumlah RM198,520 bagi melaksanakan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Pekerti) di Melaka bagi fasa pertama pada tahun ini.
Ketua Pengarah LPPKN Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata pelaksanaan program itu akan melibatkan kerjasama kerajaan negeri bagi mengenal pasti sekolah yang memerlukan perhatian khusus dalam menangani isu berkaitan remaja menerusi pelbagai program yang akan dilaksanakan melalui Kelab Sahabat KafeTEEN.
"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Program Pekerti ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula pada pertengahan tahun ini dan Melaka menjadi negeri pertama melaksanakannya dengan pembabitan awal melibatkan 12 sekolah sebelum diperluas ke sekolah lain.
"Kebanyakan isu melibatkan remaja hari ini antaranya ialah remaja hamil luar nikah, salah laku seksual dan konflik kahwin bawah umur, dan sekiranya kita dapat mengenal pasti sekolah, kawasan serta komuniti yang terlibat, program yang hendak dilaksanakan dapat diberi fokus yang tepat," katanya kepada pemberita di Pusat Keluarga LPPKN Melaka, di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Malam Kita 2026 @ KafeTEEN Melaka yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Pengarah LPPKN Melaka Suszma Khairitszi Mamat.
Abdul Shukur berkata pelaksanaan Program Pekerti juga bertujuan melahirkan lebih ramai pemimpin termasuk seorang ikon dalam kalangan remaja yang akan berperanan sebagai pendidik bagi isu kesihatan reproduktif dan sosial golongan itu.
Beliau berkata berdasarkan pemerhatian semasa di media sosial, terdapat golongan remaja perempuan tanpa segan silu mengupas atau bercakap tentang isu seksual tanpa ilmu.
Terdahulu, beliau berkata Festival Malam Kita 2026 @ KafeTEEN Melaka ialah satu daripada inisiatif di bawah pendekatan edutainment (didik hibur) yang dilaksanakan oleh KafeTEEN Melaka bagi mendekati golongan remaja secara lebih santai, kreatif dan relevan dengan dunia mereka.
Abdul Shukur berkata program itu juga melahirkan usahawan dalam kalangan remaja, sekali gus mengasah kemahiran sosial, emosi dan komunikasi peserta.
Sementara itu, Kalsom berkata Festival Malam Kita 2026 @ KafeTEEN Melaka dilihat merupakan platform terbaik untuk mendekati, mendidik dan membantu golongan remaja yang berdepan dengan pelbagai isu kesihatan reproduktif dan sosial.
"Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penganjuran program seumpama ini dan akan terus bekerjasama dengan LPPKN dalam usaha membantu, mendidik dan memberikan sokongan sewajarnya kepada golongan remaja yang memerlukan," katanya.
-- BERNAMA