KUALA LUMPUR:Sidang Dewan Rakyat tegang seketika apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meninggikan suara ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 hari ini.

Azhar Azizan bertindak demikian ketika Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR - Setiawangsa) cuba mencelah dan memintanya mengawal Dewan dan bukan hanya menegur pihak pembangkang sahaja.

Sebaliknya, Azhar Azizan berkata, beliau membenarkan mana-mana ahli Parlimen mencelah ketika sesi itu meskipun bukan pada waktu perbahasan.

"Saya benarkan kamu mencelah, tidak ada satu yang saya bantah. Jangan tuduh yang bukan-bukan.

"Apabila sesuatu salah saya kena tegur, tidak kira siapa," tegasnya sebelum Dewan diam seketika.

Dalam pada itu, Azhar Azizan meminta untuk semua ahli Parlimen memberi peluang kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menjawab penggulungan itu.

"Tolong bagi peluang kepada menteri menjawab.

"Waktu berbahas sudah tamat sebenarnya. Kita sudah kritik bajet (Belanjawan 2021) itu, sekarang biar menteri menjawab," katanya.

Terdahulu, Ong Chen (PKR - Subang) mencelah dengan mempersoalkan keupayaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila kerajaan mengumumkan untuk memperluaskan pengeluaran skim i-Sinar daripada Akaun 1 KWSP kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.