Skip to main content

Dunia

ASEAN 2026: Filipina sasar lengkap 19 hasil ekonomi keutamaan menjelang akhir 2026

Ferdinand Marcos Jr berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen negara berkenaan untuk memperkukuh hubungan ekonomi serantau merangkumi pasaran, sistem tenaga, infrastruktur, teknologi dan kewangan. REUTERS
Ferdinand Marcos Jr berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen negara berkenaan untuk memperkukuh hubungan ekonomi serantau merangkumi pasaran, sistem tenaga, infrastruktur, teknologi dan kewangan. REUTERS
Advertisement

MANILA: Filipina menyasarkan untuk melengkapkan kesemua 19 hasil ekonomi keutamaan di bawah kepengerusiannya dalam ASEAN 2026 menjelang akhir tahun ini, termasuk memeterai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen negara berkenaan untuk memperkukuh hubungan ekonomi serantau merangkumi pasaran, sistem tenaga, infrastruktur, teknologi dan kewangan.

"Kesemua 19 hasil ekonomi keutamaan itu merangkumi beberapa bidang strategik termasuk pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), keselamatan tenaga dan kesalinghubungan, rantaian bekalan berdaya tahan serta perdagangan strategik.

Advertisement

"Ia turut meliputi pembangunan mampan dan peralihan hijau, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), inovasi serta ekonomi kreatif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), di sini, hari ini.

Advertisement

Marcos berkata, lebih 100 dokumen hasil turut berjaya dimajukan menerusi Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan, sekali gus mencerminkan usaha penyelarasan serta rundingan berbulan-bulan antara negara anggota dan rakan dialog.

Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai kesinambungan agenda serantau ASEAN di bawah visi ASEAN 2045 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan keamanan dan keselamatan, kemakmuran serta pemerkasaan rakyat.

Katanya, visi berkenaan bukan sekadar gambaran aspirasi rantau ini untuk tempoh dua dekad akan datang, sebaliknya menjadi panduan dalam menentukan dasar dan tindakan yang perlu dilaksanakan mulai sekarang.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan kerjasama merentas sektor dengan menggabungkan peranan kerajaan, sektor perniagaan, masyarakat sivil, institusi akademik dan komuniti bagi merealisasikan matlamat jangka panjang ASEAN.

Marcos turut menekankan bahawa manfaat integrasi ekonomi serantau perlu dirasai secara langsung oleh keluarga dan komuniti di seluruh negara anggota.

Filipina menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dari 15 hingga 17 November ini, yang menghimpunkan pemimpin Asia Tenggara serta rakan dialog bagi membincangkan kerjasama dan keutamaan serantau.

Must Watch Video

Advertisement