KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 mencapai keseimbangan yang tepat untuk memperkukuh daya tahan Malaysia di tengah cabaran global, di samping memajukan transformasi ekonomi dan meningkatkan hasil sosioekonomi untuk semua.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata ini sejajar dengan matlamat Khazanah untuk menyampaikan nilai yang mampan untuk negara, menyokong perjalanan Malaysia ke arah menjadi masyarakat yang makmur, saksama dan mampan.

"Khazanah dan syarikat pelaburan kami komited sepenuhnya dalam menyokong pelaksanaan Belanjawan 2024 dan wawasan Ekonomi MADANI, yang selaras dengan strategi Memajukan Malaysia.

"Berpandukan rangka kerja ini, kami akan terus melaksanakan pelaburan strategik, membangunkan modal insan, menyokong syarikat pemula dan PKS, memacu kemampanan dan melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berimpak," katanya dalam kenyataan.

Amirul Feisal berkata melalui pergerakan sumbernya dan penggemblengan usaha merentasi ekosistem syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC)/syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Khazanah berusaha untuk memajukan trajektori pertumbuhan yang saksama, mampan dan mencipta nilai untuk negara.

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, Khazanah akan menggalas tugas menerajui pengukuhan ekosistem modal teroka (VC) tempatan, dengan kerjasama agensi-agensi VC seperti Penjana Kapital dan Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP).

"Pemusatan sumber kerajaan dalam ruang lingkup ini akan membolehkan penyelarasan yang lebih baik kerana kami berhasrat untuk memupuk dan mengembangkan syarikat pemula Malaysia termasuk bagi meningkatkan daya saing serantau.

Beliau berkata Khazanah kekal komited untuk memupuk pertumbuhan mampan selaras dengan agenda kerajaan berkaitan kemampanan dan peralihan tenaga.

"Di bawah anak syarikat milik penuh kami UEM Group Berhad, Khazanah telah melancarkan platform pelaburan hijau, UEM Lestra Berhad, bagi tujuan melabur dan membina juara domestik dalam sektor hijau seperti tenaga boleh baharu dan storan, teknologi bangunan hijau dan kecekapan tenaga serta ekosistem e-mobiliti," katanya.

Inisiatif Dana Impak Khazanah, antara tonggak utama di bawah strategi Memajukan Malaysia, melaksanakan pelaburan dalam bidang yang dapat meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia, mengukuhkan daya tahan negara dan menyampaikan faedah sosioekonomi kepada rakyat.

"Pada 2024, Dana Impak akan memperuntukkan RM600 juta untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang bagi masyarakat luar bandar, pinggir bandar dan masyarakat yang kurang mendapat tumpuan, selaras dengan visi kerajaan ke arah pembangunan wilayah yang lebih seimbang, sekali gus menyumbang kepada peninggian lantai dan siling untuk rakyat Malaysia di seluruh negara," katanya.

Sebagai persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, Think City, sebuah entiti yang diasaskan oleh Khazanah, akan terus berusaha untuk memulihara dan menambah baik Kuala Lumpur sebagai ruang boleh didiami yang vibran serta kaya dengan budaya dan warisan untuk dinikmati oleh generasi akan datang, dan menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan global.

-- BERNAMA