Skip to main content

Dunia

Polis Britain siasat dakwaan kesalahan seksual libatkan David Walliams

Walliams dikenali menerusi rancangan Little Britain, Come Fly With Me dan sebagai juri program Britain's Got Talent. - Foto REUTERS
Walliams dikenali menerusi rancangan Little Britain, Come Fly With Me dan sebagai juri program Britain's Got Talent. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Polis Metropolitan London sedang menyiasat dakwaan kesalahan seksual serius melibatkan pelawak dan penulis buku kanak-kanak Britain, David Walliams.
  • Walliams menafikan semua dakwaan, termasuk tuduhan salah laku seksual terhadap remaja perempuan dan wanita muda sejak 2003.
  • Beberapa program dan kerjasama profesional Walliams telah ditamatkan susulan kontroversi, sementara polis menggesa saksi tampil membantu siasatan.
Advertisement

LONDON: Polis Metropolitan London membuka siasatan terhadap dakwaan kesalahan seksual serius yang dikaitkan dengan pelawak dan penulis buku kanak-kanak terkenal Britain, David Walliams.

Menurut pihak polis, beberapa aduan berkaitan kesalahan seksual yang didakwa berlaku sebelum ini telah diterima membabitkan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an.

Walliams, 55, bagaimanapun menafikan semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Advertisement

Siasatan itu diumumkan beberapa hari selepas ITV News dan The Guardian menerbitkan laporan yang memetik dakwaan beberapa wanita bahawa Walliams melakukan salah laku seksual, termasuk terhadap remaja perempuan dan wanita muda, sejak 2003.

Menurut laporan kedua-dua media itu, seorang wanita mendakwa dicabul ketika berusia 15 tahun, manakala beberapa individu lain menuduh Walliams mempengaruhi mereka ketika masih remaja.

Advertisement

Terdapat juga dakwaan beliau mengganggu pekerja wanita di tempat kerja.

Dalam kenyataannya kepada media, Walliams menegaskan beliau tidak pernah menyalahgunakan pengaruh atau kedudukannya sebagai selebriti.

“Saya bukan pemangsa seksual dan saya tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Susulan kontroversi itu, BBC dilaporkan menurunkan beberapa program yang membabitkan Walliams, termasuk siri komedi popular Little Britain yang melonjakkan namanya dalam industri hiburan.

Agensi yang mewakilinya, Independent Talent Group, turut menamatkan hubungan profesional dengannya, manakala penerbit HarperCollins sebelum ini sudah menghentikan kerjasama dengan Walliams berikutan dakwaan berasingan yang turut dinafikannya.

Walliams dikenali menerusi rancangan Little Britain, Come Fly With Me dan sebagai juri program Britain's Got Talent.

Beliau juga terkenal sebagai pengarang buku kanak-kanak dengan jualan melebihi 50 juta naskhah di seluruh dunia.

Polis menggesa mana-mana individu yang mungkin mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya tampil membantu siasatan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement