KUALA LUMPUR: Lebih banyak langkah perlu diambil untuk menjadikan rumah lebih mampu milik termasuk memperkukuh kewangan rakyat terutamanya dalam kumpulan berpendapatan sederhana, kata kumpulan teknologi hartanah global Asia, Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI Kashif Ansari berkata berkata kemampuan pemilikan perumahan adalah keutamaan kerana ia penting dalam memupuk kestabilan ekonomi dan kemakmuran rakyat, Belanjawan 2024 diharapkan akan membantu lebih ramai keluarga memiliki rumah sendiri.

"Apabila sebuah keluarga merasa tidak selamat di rumah mereka, mereka mengalami pelbagai impak negatif lain, daripada kehilangan pendapatan kepada kesan terhadap pendidikan untuk anak-anak mereka," katanya dalam satu kenyataan mengenai Belanjawan 2024.

Belanjawan 2024 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 13 Oktober depan.

Kashif berkata bagi memiliki kewangan stabil, setiap keluarga memerlukan pendapatan yang meyakinkan, perbelanjaan yang rendah, keupayaan untuk menyimpan untuk masa depan dan keselamatan di rumah mereka.

"Pemilikan rumah mampu milik membantu mencapai tiga daripada empat matlamat ini kerana ia mengurangkan dan menstabilkan perbelanjaan bulanan, ia juga dapat mengumpul simpanan dan menjamin menyediakan kediaman yang baik," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga boleh mengambil pendekatan lebih bersasar dengan menyediakan geran untuk pembeli rumah, subsidi kadar faedah untuk kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana serta mengurangkan cukai dan duti setem apabila membeli atau melakukan gadai janji.

"Kerajaan boleh mengembalikan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kerana angka terakhir menunjukkan HOC membantu keluarga menjimatkan RM15.8 bilion berbanding jumlah yang sepatutnya mereka bayar untuk membeli 117,538 rumah.

"Jumlah jualan HOC ditambah sehingga RM92.5 bilion setakat Julai 2022. Bagaimanapun, HOC telah berjaya dan membantu lebih 100,000 keluarga mencapai kebebasan kewangan," kata Kashif.

Beliau juga menekankan keperluan untuk mengurangkan kos pembinaan, memetik data daripada Building Cost Information Services Malaysia (BCISM Sdn Bhd) yang menyatakan bahawa kos simen Portland meningkat 50 peratus tahun ke tahun pada September, kos konkrit campuran siap meningkat sebanyak 23 peratus tahun ke tahun dan kos pasir meningkat 18 peratus tahun ke tahun.

"Apabila harga meningkat dengan cepat pada bahan asas untuk setiap belanjawan pembinaan, ia menyebabkan harag rumah baharu menjadi lebih mahal.

"Kerajaan mempunyai kaedah untuk mengurangkan kos input ini. Banyak bahan sama ada diimport atau bergantung kepada bahan atau komponen yang diimport, justeru dengan mengurangkan levi import, Belanjawan 2024 boleh menjadikan perumahan lebih mampu milik," katanya.

Kashif berkata bahawa Belanjawan 2024 boleh melakukan banyak perkara untuk membantu lebih ramai keluarga mencapai kebebasan kewangan.

"Kami menyokong langkah ini dan mengharapkan masa depan yang makmur untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

-- BERNAMA