Skip to main content

Malaysia

Kebebasan bersuara perlu dipandu tanggungjawab moral - Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar berkata dalam era yang menuntut komunikasi lebih berkesan dan bertanggungjawab, wacana perlu diangkat berteraskan hikmah, ilmu dan adab. - Gambar/ FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kebebasan bersuara perlu dipandu tanggungjawab moral, manakala perbezaan pandangan tidak boleh menjadi alasan untuk memecahbelahkan masyarakat atau meruntuhkan nilai kemanusiaan yang dijunjung bersama.

Beliau berkata dalam era yang menuntut komunikasi lebih berkesan dan bertanggungjawab, wacana perlu diangkat berteraskan hikmah, ilmu dan adab.

“Masyarakat yang dangkal ilmunya, tidak berpaksikan kebenaran, tidak menjunjung prinsip keadilan serta kehilangan ihsan dalam pertimbangan dan tindakan akan mudah terjerumus ke dalam kancah jahiliah yakni suatu keadaan yang lahir daripada kealpaan, prasangka dan kejahilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata perkara itu antara penegasan beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan timbalannya Teo Nie Ching serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri berkata kemajuan sesebuah bangsa tidak hanya diukur pada kemakmuran zahir dan pembangunan fizikal, tetapi pada ketinggian ilmu, kekuatan akal budi serta keutuhan nilai yang menjadi pedoman.

“Dalam menjayakan agenda pembangunan negara, kita tidak hanya dituntut membina kemajuan ekonomi dan teknologi, tetapi juga membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak, berbudaya ilmu serta bersatu atas landasan kebenaran, keadilan dan ihsan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement