SHAH ALAM: Selangor memohon peruntukan dana daripada kerajaan Persekutuan pada Belanjawan 2024 yang dijadual dibentangkan pada 13 Okt ini, bagi membantu proses rejuvenasi kawasan dan bandar lama di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata proses memberi nafas baharu itu diperlukan untuk memastikan pembangunan kawasan itu dapat digabungkan dengan kepesatan pembangunan di kawasan bandar baharu sekitarnya.

Beliau berkata bandar dan kawasan lama seperti Petaling Jaya, Ampang, Gombak, Cheras serta Pandan merupakan kawasan pembandaran yang dibangunkan dengan model pembangunan pada era 70-an dan 80-an yang tidak lagi sesuai dengan keperluan penduduk ketika ini.

"Namun, hasrat kerajaan negeri ini merupakan pelaksanaan yang membabitkan satu dasar besar dan memerlukan sokongan kewangan daripada kerajaan Persekutuan, selain kelulusan serta kebenaran daripada pemilik tanah berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Belanjawan 2024 Selangor yang dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong di sini hari ini.

Amirudin berkata kerajaan negeri berharap perkara itu antara yang mendapat tumpuan dalam pembentangan Belanjawan 2024 selain aspek infrastruktur, pelan mengatasi banjir dan usaha pengukuhan pendapatan rakyat.

Beliau berkata sekiranya proses menyegarkan semula bandar lama ini tidak dilakukan, nilai ekonomi dan potensi di kawasan berkenaan bakal menurun dan tenggelam pada masa hadapan.

Selain itu, menurutnya antara isu yang dihadapi di kawasan bandar lama seperti PJ Old Town adalah tempoh pajakan 99 tahun yang bakal tamat dalam beberapa tahun lagi

"Tanah ini ada yang bernilai lebih RM1 juta setiap lot dan dari segi aktiviti ekonomi yang ada sekarang tiada kemampuan untuk peniaga membayarnya, ini satu contoh isu yang perlu kita tangani," katanya.

Sementara itu, Sim berkata Selangor adalah lokasi terakhir bagi sesi libat urus Jelajah Belanjawan 2024 dan hingga kini pihaknya telah berinteraksi dengan kira-kira 8,000 peserta secara bersemuka, selain menerima lebih kurang 10,000 maklum balas melalui portal Belanjawan 2024.

"Semua maklum balas dan cadangan yang diterima kita akan pertimbangkan termasuk apa yang dicadangkan Menteri Besar Selangor tadi, lebih-lebih lagi Selangor merupakan negeri yang mempunyai pertumbuhan pesat dan perlu meneroka kawasan pembangunan baharu," katanya.

-- BERNAMA