KUALA LUMPUR: Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) menyasarkan pertumbuhan dua digit bagi pendapatan bukan tambang pada 2027, dengan sasaran menjana hasil melebihi RM70 juta melalui pengiklanan, peruncitan, pembangunan berorientasikan transit (TOD), aplikasi PULSE dan pengurusan parkir.
Ketua Pegawai Eksekutif PRIDE, Syed Redza Algadrie berkata, sasaran itu sejajar dengan aspirasi syarikat untuk memastikan pendapatan bukan tambang berkembang lebih pantas daripada hasil tambang, sekali gus meningkatkan sumbangannya kepada keseluruhan pendapatan Kumpulan Prasarana.
“Kita tidak boleh bergantung kepada hasil tambang sahaja. Prasarana perlu terus meneroka dan memperkukuh sumber pendapatan bukan tambang bagi memastikan kemampanan perniagaan dalam jangka panjang serta mewujudkan nilai tambahan kepada pengguna dan rakan niaga,” katanya dalam wawanvara bersama AWANI Pagi.
Menurut Syed Redza, peranan utama PRIDE adalah untuk meningkatkan jumlah penumpang serta pendapatan bukan tambang melalui pendekatan yang menggabungkan pembangunan komersial, pengalaman pengguna dan pertumbuhan ekosistem transit.
“Objektif utama PRIDE adalah untuk meningkatkan jumlah penumpang (ridership) dan pendapatan bukan tambang (non-fare revenue). Kedua-dua matlamat ini saling melengkapi kerana pengalaman pengguna yang lebih baik dan ekosistem komersial yang lebih kukuh mampu menarik lebih ramai pengguna ke rangkaian Prasarana,” katanya.
Bagi menyokong agenda tersebut, PRIDE terus memperkukuh portfolio komersialnya merentasi peruncitan, pengiklanan, hartanah, parkir dan platform digital. Dalam segmen peruncitan, PRIDE kini mempunyai lebih 100,000 kaki persegi ruang komersial dengan kadar penghunian hampir 70 peratus.
Sementara itu, sektor pengiklanan akan diperkasakan menerusi media digital, peluang hak penjenamaan dan pakej pengiklanan bersepadu yang menawarkan penyelesaian lebih menyeluruh kepada rakan niaga.
Dalam sektor hartanah, pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Awan Besar, Kelana Jaya dan Glenmarie dijangka menjadi antara pemacu pertumbuhan utama PRIDE dalam beberapa tahun akan datang. Projek-projek ini dijangka mewujudkan nilai pembangunan melebihi RM100 juta menjelang 2028 dan berkembang kepada lebih RM300 juta menjelang 2029.
Selain pulangan komersial, pembangunan tersebut turut membawa lebih ramai penduduk dan aktiviti ekonomi lebih dekat dengan rangkaian rel, sekali gus berpotensi meningkatkan jumlah penumpang dan pendapatan bukan tambang.
Syed Redza berkata, aplikasi PULSE pula akan terus diperkukuh melalui kerjasama dengan pelbagai rakan niaga bagi menawarkan promosi, ganjaran dan perkhidmatan gaya hidup yang memberi nilai tambah kepada pengguna transit, di samping membuka peluang pendapatan digital baharu.
Dalam jangka panjang, PRIDE menyasarkan untuk terus meningkatkan sumbangan pendapatan bukan tambang kepada Kumpulan Prasarana dengan matlamat menghampiri RM100 juta pendapatan tahunan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pertumbuhan ini dijangka dipacu oleh portfolio pendapatan yang lebih pelbagai dan berulang, dengan pendapatan bukan tambang berkembang lebih pantas daripada hasil tambang serta menyumbang bahagian yang semakin besar kepada keseluruhan pendapatan Kumpulan Prasarana.
“PRIDE mahu berkembang daripada sebuah entiti yang mengkomersialkan ruang dan aset kepada pemacu pertumbuhan komersial bersepadu yang bukan sahaja menjana hasil, malah meningkatkan pengalaman pengguna, menyokong pertumbuhan ridership dan mencipta nilai jangka panjang kepada Kumpulan Prasarana.
"Matlamat kami adalah untuk menjadikan pendapatan bukan tambang sebagai penyumbang yang semakin signifikan kepada keseluruhan pendapatan Kumpulan Prasarana pada masa hadapan,” katanya.