KUALA LUMPUR: Tambahan peruntukan untuk Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam Belanjawan 2024 mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha meningkatkan darjat hidup rakyat melalui penyediaan kemudahan asas bertaraf dunia, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Selain itu kata beliau, kesemua inisiatif yang dicadangkan oleh KKR telah dipersetujui dan dibentangkan dalam Belanjawan 2024.

Secara keseluruhan, KKR menerima peruntukan berjumlah RM9.511 bilion bagi 2024, iaitu peningkatan 12.7 peratus berbanding RM8.439 bilion yang diterima tahun lepas, katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata menteri itu, menerusi inisiatif Belanjawan 2024, KKR merancang untuk membangunkan negara secara mampan yang dapat menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan, perniagaan dan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi.

Memperincikan peruntukan KKR dalam Belanjawan 2024, Nanta berkata sebanyak RM2.8 bilion akan digunakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan selaras hasrat kementerian untuk terus memperkasa Kempen MYJalan KKR.

"Setakat Ogos tahun ini, lebih 4,100 jalan berlubang di jalan persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih, dan kerajaan komited memastikan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan jalan berlubang di Jalan Persekutuan," katanya.

Selain itu, beliau berkata RM300 juta dikhususkan kepada kontraktor kecil Bumiputera G1 hingga G4 yang layak dan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, melalui kerja undi dan arahan kerja bagi mengelakkan kesenjangan peluang dan membaiki ruang pembangunan semula kemampanan kontraktor untuk terus berdaya saing dalam era revolusi industri.

Beliau berkata kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan kepada RM200,000 berbanding RM100,000 kepada 115 jurutera daerah, melibatkan peruntukan keseluruhan RM30 juta.

Bagi menambah baik aspek kejuruteraan, Nanta berkata RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik hingga 60 peratus, manakala RM50 juta bagi merawat kawasan kemalangan tinggi, antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di jalan persekutuan yang turut membantu mengurai kesesakan trafik.

Sementara itu, beliau berkata projek infrastruktur utama jalan raya akan terus diperhebat seperti Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang bakal siap sepenuhnya tahun depan.

"Proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan jajaran 366 kilometer (km) melibatkan kos RM15.7 bilion akan diselesaikan November ini.

"Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 km melibatkan kos hampir RM7.4 bilion juga mula dilaksanakan penghujung tahun ini," katanya.

Mengambil kira keperluan peningkatan kenderaan, Nanta berkata projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong, dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor dengan kos RM931 juta sepanjang 18 km.

"Dengan siapnya pembinaan lorong tambahan ini, dapat meningkatkan keselamatan dan keselesaan kepada rakyat dengan penjimatan masa hingga 25 minit daripada 40 minit tempoh masa perjalanan sedia ada serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya," katanya.

Bagi mengekang tragedi tanah runtuh, beliau berkata sebanyak RM563 juta disediakan bagi pembaikan cerun di seluruh negara termasuk program pemantauan, pencegahan dan pelaporan serta amaran awal melibatkan lebih 2,000 cerun yang berisiko tinggi.

-- BERNAMA