KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memohon peruntukan inisiatif berjumlah RM550.7 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi melaksanakan enam program utama yang memberi tumpuan kepada pembinaan negara bangsa.
Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata permohonan itu akan dibincangkan dengan Menteri Kewangan esok, dengan kesemua inisiatif berkenaan menekankan perkongsian identiti bersama, pengukuhan perpaduan nasional serta keharmonian di negara ini.
Beliau berkata enam inisiatif itu merangkumi Perpaduan dan Identiti Nasional, Keharmonian Komuniti, Ini Warisan Kita, Pendigitalan Khazanah Negara, naik taraf premis perpaduan serta geran padanan melibatkan muzium, arkib dan perpustakaan.
“Kesemua permohonan peruntukan inisiatif bagi 2027 akan selaras dengan fokus kementerian iaitu pembinaan negara bangsa yang menekankan kepentingan perkongsian identiti bersama, menyemarak perpaduan nasional dan keharmonian di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Penceritaan Malaysia (FPM) 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia di sini, hari ini.
Aaron berkata antara program di bawah inisiatif Perpaduan dan Identiti Nasional ialah Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP MADANI), Jelajah Belia Rukun Negara, Jalinan Integrasi Nasional, Citra Nusa Muzium, Pameran Muzium, Semarak Advokasi Arkib, Nadi Budaya Ilmu dan Persidangan Perpustakaan Digital.
Bagi Keharmonian Komuniti pula, antara program yang dirancang ialah (Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif dan Mediator Komuniti, selain permohonan itu turut mengambil kira usaha menaik taraf premis perpaduan termasuk Tabika Perpaduan, arkib dan perpustakaan desa.
“Kita ada 506 perpustakaan desa seluruh negara, 10 memorial dan juga 22 muzium di bawah Jabatan Muzium (dan permohonan peruntukan Belanjawan 2027 ini) melibatkan pendigitalan antara tiga-tiga agensi ini. Jadi, ini enam fokus yang kita akan mohon untuk 2027,” katanya.
Mengulas peruntukan Belanjawan 2026, beliau berkata KPN telah menerima RM136 juta merangkumi RM55 juta masing-masing untuk KRT dan aktiviti perpaduan, RM20 juta bagi menaik taraf Tabika Perpaduan, RM5 juta untuk geran padanan muzium serta RM1 juta bagi budaya etnik Siam.
Selain itu, katanya, KPN turut diperuntukkan RM650.48 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM117.52 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
Sehubungan dengan itu, Aaron berkata kementeriannya mempunyai perancangan melaksanakan pelbagai program pada tahun hadapan, namun pelaksanaannya bergantung pada peruntukan yang diluluskan.
-- BERNAMA