MOSCOW: Polis Perancis menahan 219 orang ketika demonstrasi di seluruh negara pada hujung minggu ini, menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada Sabtu, ribuan orang menyertai demonstrasi di seluruh Perancis bagi membantah kenaikan harga barang dan keganasan polis.
Wartawan RIA Novosti melaporkan bahawa polis menggunakan gas pemedih mata di Paris, manakala pertempuran yang tercetus menyebabkan beberapa orang cedera.
“Seramai 219 orang ditahan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kementerian itu memaklumkan bahawa kira-kira 106,000 orang menyertai 137 demonstrasi di seluruh negara.
Di Paris, jumlah penunjuk perasaan mencecah 24,000 orang.
Protes bermula di Perancis pada pertengahan September apabila pelajar sekolah menengah di pinggir bandar Paris turun ke jalanan bagi menuntut penambahbaikan kemudahan sekolah mereka.
Mereka kemudian disertai orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga barang, sebelum demonstrasi itu merebak ke wilayah lain.
Demonstrasi terbesar di seluruh negara berlangsung pada 17 Okt, dengan penyertaan kira-kira 550,000 orang, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Anggota penguat kuasa undang-undang Perancis menggunakan gas pemedih mata, bom tangan pegun dan meriam air terhadap penunjuk perasaan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI