MANILA: ASEAN perlu menilai semula usaha dan pendekatan sedia ada dalam menangani krisis di Myanmar, lima tahun selepas Konsensus Lima Perkara (5PC) diperkenalkan, namun konflik di negara itu masih berlarutan tanpa penyelesaian.
Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr., berkata pemimpin ASEAN perlu melihat apa lagi yang boleh dilakukan bagi memastikan pelan keamanan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau memberitahu, krisis berkenaan bukan sekadar isu dalam agenda ASEAN, sebaliknya membabitkan nasib rakyat Myanmar yang terkesan akibat konflik, termasuk keluarga yang kehilangan tempat tinggal, masyarakat yang memerlukan bantuan kemanusiaan serta golongan muda yang masa depannya terjejas akibat ketidakstabilan.
"Sudah lima tahun, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, apa lagi yang boleh kita lakukan untuk Myanmar?" katanya ketika membuka sesi pemukiman pemimpin ASEAN di Coconut Palace, Pasay City, di sini pada Ahad.
Marcos berharap perbincangan secara tertutup itu dapat menghasilkan pendekatan lebih praktikal dan berpandangan jauh bagi memperkukuh pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, selain menyokong proses perdamaian yang diterajui dan dimiliki rakyat Myanmar sendiri.
Beliau turut menegaskan komitmen ASEAN untuk terus menangani isu Myanmar secara konstruktif dan berprinsip, dengan Konsensus Lima Perkara kekal sebagai asas utama usaha blok itu mencari penyelesaian damai.
Dalam perkembangan sama, Marcos menggesa pemimpin ASEAN bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, khususnya berkaitan keselamatan dan daya tahan tenaga.
5PC dipersetujui pemimpin-pemimpin ASEAN pada April 2021 bagi menangani krisis di Myanmar.
Antara lima perkara itu adalah penghentian keganasan dengan segera di Myanmar.