Skip to main content

Dunia

FAA henti guna cakera liut menjelang 2028 susulan gangguan trafik udara AS

Pihak berkuasa pengangkutan mengesahkan penggunaan cakera liut tersebut tidak mempunyai kaitan dengan gangguan telekomunikasi yang menjejaskan operasi ruang udara negara itu. -Gambar hiasan
Pihak berkuasa pengangkutan mengesahkan penggunaan cakera liut tersebut tidak mempunyai kaitan dengan gangguan telekomunikasi yang menjejaskan operasi ruang udara negara itu. -Gambar hiasan
Advertisement

WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) akan meneruskan pelan menamatkan sepenuhnya penggunaan cakera liut yang masih digunakan di kira-kira 435 fasiliti kawalan trafik udara menjelang penghujung 2028, meskipun sistem penerbangan negara itu baru-baru ini berdepan gangguan besar.

Menerusi projek Sistem Paparan Maklumat Perusahaan (Enterprise Information Display System atau E-IDS) yang diumumkan Setiausaha Pengangkutan AS, Sean P. Duffy pada 5 Nov lalu, penggunaan cakera liut yang telah digunakan selama beberapa dekad akan digantikan dengan sistem digital moden bagi mengurus maklumat cuaca dan data operasi trafik udara.

Pengumuman pelaksanaan E-IDS itu dibuat kira-kira seminggu sebelum gangguan operasi penerbangan di seluruh AS yang mencetuskan pembatalan ribuan penerbangan.

Advertisement

Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar memodenkan sistem kawalan trafik udara negara itu, lapor The Mirror.

Bagaimanapun, pihak berkuasa pengangkutan mengesahkan penggunaan cakera liut tersebut tidak mempunyai kaitan dengan gangguan telekomunikasi yang menjejaskan operasi ruang udara negara itu.

Advertisement

Dalam sidang media di ibu pejabat Jabatan Pengangkutan AS pada Sabtu, Duffy berkata siasatan awal menunjukkan insiden berkenaan mungkin berpunca daripada masalah penghala (router) atau proses pemasangan yang sedang disiasat.

Menurut beliau, gangguan berlaku ketika kerja menaik taraf talian kabel tembaga kepada gentian optik di sebuah lokasi operasi apabila sebuah penghala menghantar sejumlah besar cubaan sambungan kepada sistem lain sehingga menjejaskan komunikasi dan suapan radar di beberapa pusat kawalan trafik udara.

Duffy bersama Pentadbir FAA, Bryan Bedford turut menolak spekulasi dalam talian yang mengaitkan insiden tersebut dengan serangan siber asing atau penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, menerusi pelaksanaan projek E-IDS, FAA akan menggantikan penggunaan cakera liut secara berperingkat sehingga 2028.

Lima lokasi perintis yang dikenal pasti bagi pelaksanaan awal projek tersebut ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Atlantic City, Lapangan Terbang Antarabangsa Nashville dan Lapangan Terbang Antarabangsa Greater Rochester, selain dua pusat pemprosesan data di Atlanta serta Salt Lake City.

Must Watch Video

Advertisement