KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan lebih RM80 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif pada tahun hadapan, termasuk RM40 bilion untuk subsidi bahan api serta hampir RM3.3 bilion bagi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan subsidi bahan api dijangka kekal tinggi pada RM40 bilion, manakala bantuan JKM akan terus disediakan bagi membantu golongan yang memerlukan.
"Bulan lalu juga, Kerajaan menaikkan kelayakan BUDI95 kepada 300 liter sebulan dan BUDI Diesel untuk jip dan pikap mendapat 400 liter sebulan.
"Berdasarkan rekod September, sekitar 100 ribu pengguna atau kurang 1 peratus menggunakan sepenuhnya BUDI95 300 liter dan RM15,000 pengguna diesel jip dan pikap menggunakan sepenuhnya BUDI Diesel 400 liter. Ini membuktikan bahawa kelayakan bulanan yang diberi adalah mencukupi untuk penggunaan rakyat Malaysia, " katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam masa sama, Anwar berkata penyasaran subsidi menerusi BUDI MADANI membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih berkesan kepada rakyat, selain mengurangkan ketirisan yang sebelum ini turut dinikmati warga asing dan syarikat besar.
“Hanya Kerajaan MADANI mempunyai tekad untuk melaksanakan penyasaran subsidi kerana subsidi ialah keistimewaan rakyat yang selama ini tiris kepada warga asing dan syarikat besar.
“Hakikatnya, BUDI MADANI ialah kejayaan negara, iaitu menyasarkan subsidi untuk kedudukan fiskal yang lebih baik dan menurunkan harga untuk rakyat,” ujarnya lagi.
Selain itu, Menteri Kewangan itu menjelaskan penjimatan hasil penyasaran subsidi minyak itu membolehkan peruntukan bantuan kepada rakyat ditingkatkan daripada RM8 bilion pada 2022 kepada RM15 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun ini.
“Bayangkan juga, sekiranya kita masih menangguhkan penyasaran subsidi pada saat krisis tenaga ini, tentu lebih besar daripada RM40 bilion beban kewangan yang perlu ditanggung,” katanya.