Skip to main content

Bisnes

Belanjawan 2027: 10 perkara terbesar yang diterima PMKS

Anwar menerusi pembentangan Belanjawan MADANI Kelima turut memberi tumpuan kepada PMKS. - Gambar JaPen
Anwar menerusi pembentangan Belanjawan MADANI Kelima turut memberi tumpuan kepada PMKS. - Gambar JaPen

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan MADANI Kelima bertemakan 'Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi' pada Jumaat itu turut memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Berikut 10 perkara yang paling memberi kesan kepada aliran tunai dan pertumbuhan perniagaan merentasi cukai, pinjaman, eksport, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).

1. Cukai pendapatan PMKS dikurangkan

Kerajaan menurunkan kadar cukai pendapatan syarikat PMKS bagi RM150,000 pertama pendapatan bercukai kepada 14 peratus, manakala kadar bagi pendapatan antara RM150,000 hingga RM600,000 diturunkan kepada 16 peratus. 

Langkah ini dijangka memberi penjimatan sehingga RM6,000 kepada kira-kira 300,000 PMKS.

2. Lebih banyak pinjaman dan jaminan pembiayaan

Jumlah keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk perniagaan dinaikkan daripada RM50 bilion kepada RM57 bilion. 

Ini bermakna lebih banyak syarikat boleh mendapatkan modal untuk mengembangkan operasi atau membeli aset baharu.

3. Jaminan pembiayaan RM32 bilion untuk perniagaan

Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation (CGC) menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM32 bilion. 

Had jaminan turut dinaikkan sehingga RM50 juta bagi syarikat yang layak.

4. Pembiayaan mikro RM6.6 bilion untuk usahawan kecil

Kerajaan meningkatkan pembiayaan mikro kepada RM6.6 bilion menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional (TEKUN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN). 

Dana ini menyasarkan penjaja, peniaga kecil, pekerja gig dan usahawan mikro yang memerlukan modal perniagaan.

5. Bank Negara tambah lagi RM5 bilion dana khas PKS

Selepas menerima permintaan yang tinggi, Bank Negara Malaysia (BNM) menambah RM5 bilion lagi dana pembiayaan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana yang berdepan tekanan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi global.

6. RM1 bilion untuk PMKS yang mahu eksport

Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menyediakan pembiayaan RM1 bilion untuk membantu syarikat tempatan memasuki pasaran luar negara. 

Pada masa sama, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menerima RM60 juta bagi membantu syarikat meneroka pasaran eksport baharu.

7. RM30 juta bantu PMKS menggunakan kecerdasan buatan (AI)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) memperuntukkan RM30 juta bagi membantu 4,000 PMKS mengautomasi operasi dan menggunakan teknologi AI untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan menambah kecekapan perniagaan.

8. Peniaga kecil boleh mohon geran halal

PMKS yang mahu mendapatkan pensijilan halal kali pertama boleh menerima geran padanan sehingga RM5,000. 

PMKS halal dalam bidang seperti kosmetik dan farmaseutikal pula boleh memohon geran sehingga RM25,000 untuk mengembangkan operasi.

9. Lebih mudah dan murah dapat pembiayaan

Duti setem bagi beberapa kemudahan pembiayaan perniagaan ditetapkan hanya RM10, termasuk pembiayaan melalui platform pembiayaan antara rakan setara (P2P Financing). 

Langkah ini mengurangkan kos urusan kewangan perniagaan.

10. Kerajaan mahu lindungi PMKS daripada persaingan tidak adil

Kerajaan akan memperketat kawal selia terhadap syarikat e-dagang asing yang beroperasi di Malaysia tanpa pengawasan sewajarnya. 

Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang baharu juga akan diperkenalkan bagi memastikan persaingan yang lebih adil kepada PMKS tempatan.
 

Must Watch Video

Advertisement