KOTA BHARU: "Keluarga dimaklumkan kes ini satu dalam 20,000... jadi kami reda organ-organnya (arwah) didermakan."
Demikian luahan ibu kepada Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, Che Sharifah Che Mat Soud, 63, yang tenang menerima apa yang berlaku terhadap anak bongsu daripada empat beradik itu, meskipun hatinya masih diselubungi kesedihan.
"Pada mulanya memang berat untuk kami terima, tetapi apabila fikir ada pihak lebih memerlukan, kami rasa lebih baik organ itu diberikan kepada mereka.
"Lagipun arwah memang tidak pernah isi borang penderma organ. Cuma kami dimaklumkan oleh rakannya Muhammad Aidil pernah menyuarakan hasrat untuk menderma organ kerana tertarik melihat orang lain melakukan perkara itu.
"Kami dimaklumkan ada pesakit yang sedang menunggu, termasuk seorang bayi berusia 11 bulan yang bakal menerima buah pinggang. Kami berharap mungkin organ arwah dapat membantu pesakit itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Tembak di sini hari ini.
Tambah dia, walaupun kehilangan bekas graduan Diploma Pengurusan Pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang itu meninggalkan kesedihan yang sukar digambarkan, keluarga reda dengan ketentuan ALLAH dan berharap sumbangan organ itu menjadi bekalan amal jariah buat anak kesayangan mereka.
Dia memberitahu, keluarga memilih untuk mengizinkan organ Allahyarham didermakan bagi memberi peluang kehidupan kepada pesakit lain yang sedang menunggu pemindahan organ.
Che Sharifah berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menerangkan keadaan Allahyarham yang mengalami kematian otak selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada Isnin lalu, namun organ-organnya masih berada dalam keadaan baik dan berpotensi didermakan.
Menurut dia, pihak hospital memberi ruang kepada seluruh ahli keluarga untuk berbincang tanpa sebarang paksaan sebelum mereka sebulat suara bersetuju menjadikan pendermaan organ itu sebagai amal jariah buat Allahyarham.
"Kami fikir, arwah memang seorang yang suka bersedekah. Jadi, tidak apalah kalau organ-organnya dapat membantu orang lain yang memerlukan.
"Doktor beritahu keadaan organ arwah semuanya cantik. Dia masih muda, menjaga pemakanan, kesihatan dan tidak merokok.
"Keluarga bersetuju mendermakan organ dan tisu yang sesuai kecuali kulit," katanya.
Mengimbas detik sebelum kejadian, ujar Sharifah Allahyarham yang bekerja di sebuah kafe di Kota Bharu keluar menunggang motosikal pada malam Selasa lalu untuk bertemu rakan selepas menghantar makanan kepadanya.
Katanya, ketika itu Muhammad Aidil sempat membelikan burger untuk dia dan suami, Ahmad Zupardi Embong, 63, sebelum keluar semula.
"Dia memang anak yang baik. Setiap kali keluar, dia akan bersalam dan mencium tangan saya.
"Saya sempat pesan supaya bawa motosikal elok-elok. Selepas itu, saya masih boleh dengar bunyi motosikalnya semakin menjauh sebelum tiba-tiba seorang rakannya datang memaklumkan dia terbabit kemalangan.
"Masa itu burger yang dibelinya pun belum sempat saya habiskan," katanya dalam nada sebak.
Menurut dia, kehilangan itu amat sukar diterima memandangkan Allahyarham seorang anak yang sangat menghormati orang tua dan tidak pernah berkira dengan keluarga walaupun tidak banyak bercakap.
Ujarnya, jenazah anak bongsunya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Panchor di sini selepas Zohor. - Sinar Harian