Ringkasan AI
- MCMC menyeru orang ramai mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih bagi menerima amaran kecemasan melalui Sistem Amaran Awal (EWS).
- EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System yang membolehkan amaran dihantar serentak tanpa memerlukan aplikasi atau pendaftaran khas.
- Pelaksanaan EWS melibatkan kerjasama MCMC, NADMA, agensi teknikal dan penyedia telekomunikasi untuk memperkukuh penyampaian maklumat kecemasan negara.
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyeru orang ramai mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing sebagai persediaan menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (EWS).
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan sistem amaran kecemasan negara itu sedang dilaksanakan secara berfasa dengan menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS).
Teknologi berkenaan membolehkan amaran kecemasan dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi dikenal pasti, tanpa memerlukan pengguna memuat turun aplikasi, mendaftar atau melanggan perkhidmatan khusus.
Menurut MCMC, keperluan minimum peranti bagi menyokong penerimaan amaran EWS ialah iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini.
Bagi peranti Android, pengguna perlu menggunakan Android 12 atau versi terkini, manakala telefon Huawei memerlukan EMUI 16 atau versi terkini. Bagaimanapun, spesifikasi itu masih tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.
“Pengguna turut disarankan memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan, sekiranya berkenaan,” menurut kenyataan itu.
MCMC hari ini turut mengadakan taklimat khas bersama ketua-ketua pengarang media bagi memperkenalkan EWS, menjelaskan mekanisme penyampaian amaran dan meningkatkan kerjasama media dalam memperkukuh kesedaran serta kesiapsiagaan masyarakat.
Sesi berkenaan disertai demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman di bangunan MCMC di Cyberjaya bagi tujuan penilaian dan penambahbaikan sistem. Ujian pada skala lebih luas akan dilaksanakan secara berfasa.
Pelaksanaan EWS melibatkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
MCMC memaklumkan EWS akan melengkapi saluran amaran sedia ada bagi memperkukuh keupayaan negara menyampaikan maklumat kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.