KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai bantuan kewangan kepada AirAsia Group Bhd setakat ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata ketika ini Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Kementerian Kewangan (MoF) sedang meneliti cadangan untuk membantu syarikat penerbangan tersebut.
Keutamaan kerajaan, katanya, adalah untuk memastikan syarikat penerbangan dan kesalinghubungan dapat diteruskan kerana kalau mana-mana syarikat penerbangan besar muflis, ia akan menyebabkan kesalinghubungan terbantut.
"Kalau syarikat penerbangan ditutup, maka yang hilang bukan sahaja pekerja tapi juga kesalinghubungan.
“Itu akan beri kesan buruk pada kita dan sememangnya perkara ini dalam perhatian kerajaan dan kita cuba sedaya upaya pastikan ia tidak berlaku," kata Loke semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang bertanya jika Kementerian Pengangkutan meneliti bantuan kepada AirAsia yang sedang mengalami isu kewangan.
-- BERNAMA