KUALA LUMPUR: Hasil pemeriksaan pakar perunding perubatan forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) mendapati kecederaan pada tubuh Noorizwan Zulkefly konsisten dengan trauma tumpul dan bukan akibat perbuatan sendiri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, susulan itu, siasatan kes kematian Noorizwan diklasifikasikan sebagai kes sengaja mendatangkan kecederaan parah bagi memeras pengakuan bersalah.
Katanya, klasifikasi itu dibuat selepas pakar berkenaan yang menjalankan bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan luaran di beberapa bahagian tubuh mangsa.
"Bagaimanapun, laporan lengkap bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian masih belum diperoleh kerana analisis makmal masih dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Kumar menambah, siasatan diteruskan bagi mengenal pasti pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam pengendalian serta pengurusan mangsa ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
"Siasatan dikendalikan Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," ujarnya.
Beliau menegaskan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional tanpa melindungi mana-mana pihak bagi memastikan keadilan ditegakkan mengikut undang-undang.
Media sebelum ini melaporkan polis masih menunggu laporan penuh Jabatan Kimia serta keputusan patologi bagi menentukan punca sebenar kematian lelaki itu pada 1 Oktober lalu.
Noorizwan ditahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Peruntukan berkenaan masing-masing berkaitan kesalahan dadah, pecah rumah atau pencerobohan dengan niat melakukan kesalahan serta kesalahan mencuri.
Dia kemudian dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada 30 September untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.52 pagi keesokan harinya.