BMW Group Malaysia hari ini melancarkan generasi kedua BMW M6 Coupe yang baharu, iaitu model kereta berprestasi tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Gerhard Pils berkata BMW M6 Coupe mewakili keunggulan sebenar gaya sport yang dinamik dan disesuaikan dengan individu yang bercita rasa tinggi.

Beliau berkata, susulan daripada majlis previu BMW M6 Coupe di acara BMW M Track Experience Asia yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang awal tahun ini, minat pelanggan untuk kereta ini amat menggalakkan.

"Saya yakin dengan prestasi yang amat luar biasa, BMW M6 Coupe yang baharu ini akan terbukti menjadi pilihan paling popular di pasaran, dan sekali gus membolehkan kami mengukuhkan lagi kehadiran kami sebagai jenama automotif mewah paling laris Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan.

Model baharu BMW M6 Coupe boleh dibeli di semua wakil penjual BMW seluruh Malaysia, mulai esok.

Harga runcit di jalan tanpa insurans untuk BMW M6 Coupe yang baharu ialah RM988,800.

BMW Group ialah antara pengeluar paling berjaya untuk automobil dan motosikal di dunia dengan jenama BMW, MINI, Husqvarna Motorcycles dan Rolls-Royce.

Sebagai syarikat global, BMW Group mengendalikan 29 kemudahan pengeluaran dan pemasangan di 14 negara dan mempunyai rangkaian jualan global di lebih 140 negara.