Skip to main content

Malaysia

Lelaki kerugian RM10,000 diperdaya sindiket menyamar polis

Mangsa berumur 31 tahun itu telah dihubungi melalui panggilan telefon kononnya dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak. - Gambar hiasan
Mangsa berumur 31 tahun itu telah dihubungi melalui panggilan telefon kononnya dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak. - Gambar hiasan

Advertisement

IPOH: Hasrat seorang lelaki untuk membantu dua rakannya yang didakwa ditahan “polis” membawa padah apabila kerugian RM10,000 selepas diperdaya ahli sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis dalam kejadian di Hutan Melintang, Bagan Datuk, semalam.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata mangsa berumur 31 tahun itu telah dihubungi melalui panggilan telefon kononnya dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak.

"Suspek memaklumkan bahawa dua rakan mangsa telah ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk dan tawaran jaminan polis diberikan pada kadar RM5,000 bagi setiap seorang.

"Mangsa yang terperdaya dengan maklumat berkenaan kemudiannya menuruti arahan suspek dengan melakukan pemindahan wang sebanyak tiga kali ke dalam satu akaun bank tempatan yang dipercayai akaun keldai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad Ali berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas hadir ke IPD Bagan Datuk untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung penahanan kedua-dua rakannya.

Beliau berkata pihak polis di IPD Bagan Datuk telah memberikan penerangan yang tiada sebarang urusan jamin oleh pegawai penyiasat mengenai kedua-dua rakan mangsa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement