KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan unjuran inflasi keseluruhan semasa pada 2.8 peratus hingga 3.8 peratus bagi 2023, berikutan keadaan harga yang mereda lebih pantas daripada jangkaan awal.

BMI Industry Research (BMI) yang juga anak syarikat Fitch Solutions berkata pendekatan kerajaan dengan melaksanakan subsidi dan kawalan harga, akan membantu dari segi mengekang kenaikan harga secara ketara.

"Inflasi di Malaysia secara umumnya adalah lebih rendah berbanding negara serantau dengan inflasi di Indonesia, Filipina dan Singapura masing-masing pada 3.5 peratus, 5.4 peratus dan 4.5 peratus pada Jun 2023," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Jun lepas, inflasi Malaysia reda kepada 2.4 peratus berbanding 2.8 peratus pada Mei yang menjadi angka terendah sejak awal tahun ini.

Susulan itu, BMI telah menurunkan unjurannya kepada purata 10 tahun sebanyak 2.0 peratus menjelang akhir 2023 daripada sebelumnya iaitu 2.5 peratus.

BMI juga menyemak semula unjuran inflasi purata bagi 2023 turun daripada 2.9 peratus kepada 2.7 peratus yang merupakan jauh lebih rendah daripada purata 3.4 peratus pada 2022.

"Dalam proses BNM mengemudi berakhirnya kitaran kenaikan kadar faedah global, penurunan inflasi dan cabaran pertumbuhan, kami menjangkakan bank pusat itu akan mengekalkan pendiriannya dalam mesyuarat akan datang pada September 2023," katanya.

Menurutnya, sejak kejutan BNM menaikkan 25 mata asas pada Mei lepas, kadar faedah sebenar di Malaysia menjadi lebih positif dan optimis pendirian dasar semasa adalah memadai bagi mengawal inflasi.

"Selain itu, walaupun BNM tidak mempunyai sebarang sasaran inflasi, trend angka keseluruhan itu terarah ke paras purata 10 tahun pada 2.0 peratus yang mengurangkan tekanan untuk bertindak.

"BNM juga dijangka tidak akan melaksanakan sebarang pengurangan kadar faedah ketika pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat masih mengetatkan kadar faedahnya kerana bimbangkan tindakan yang boleh melemahkan mata wangnya," kata BMI.

Di peringkat global, BMI menjangkakan inflasi keseluruhan terus mereda selepas mengalami kesan asas tinggi daripada kenaikan ketara tahun lepas membabitkan harga makanan dan tenaga akibat konflik Rusia-Ukraine.

-- BERNAMA