KUALA LUMPUR: Ahli ekonomi berpendapat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini ialah mungkin kerana bank pusat mahu memberi masa untuk dasar fiskal kerajaan memberi impak kepada ekonomi.

Ketua Ekonomi Juwai IQI Shan Saeed berkata, pada masa ini, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi laluan kepada kerajaan untuk memberi keutamaan kepada pakej rangsangan dan sebanyak tujuh pakej rangsangan telah diperkenalkan setakat ini sejak tahun lepas.

"Saya berpendapat jika bank pusat melihat ekonomi memerlukan sokongan lebih lanjut, (selain daripada pakej rangsangan), mereka mungkin mengurangkan (OPR, pada masa depan)," katanya kepada Bernama.

Dalam kenyataan, BNM berkata pemulihan ekonomi global bertambah kukuh, disokong oleh peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.

"Kita mempunyai dasar fiskal dan dasar monetari untuk semua ekonomi di seluruh dunia. Dalam tempoh mencabar ini apabila kita mempunyai banyak yang tidak menentu, kita mempunyai kedua-dua dasar untuk dilaksanakan. Kita memerlukan dasar fiskal untuk memacu pertumbuhan. Kita memerlukan dasar monetari untuk meningkatkan sentimen perniagaan dan penggunaan domestik.

"Satu dasar sahaja tidak dapat melakukan keajaiban. Setiap dasar mempunyai batasan tertentu. Ia boleh memberi impak kepada ekonomi, tetapi pada tahap tertentu, ia tidak dapat memberi apa-apa impak," kata Shan.

Pada tahun lepas, katanya bank pusat telah mengurangkan 125 mata asas OPR secara keseluruhan.

"Justeru, itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya 12 hingga 15 bulan untuk memberi impak (kepada ekonomi). Apa-apa dasar dan instrumen yang diambil BNM, memerlukan masa kira-kira 12 hingga 15 bulan (untuk memberi impak)," katanya.

Pada masa ini, beliau berpendapat apa yang menjadi tumpuan kerajaan ialah memastikan sentimen perniagaan kukuh dan permintaan domestik utuh, justeru, kerajaan memberikan pelbagai pakej rangsangan.

"Bagi mewujudkan atau mengekalkan momentum perbelanjaan dan pembelian rakyat dalam negara, mereka memberi semua rangsangan fiskal ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata MPC kekal berhati-hati memandangkan peningkatan semula kes baharu COVID-19 boleh memainkan peranan dalam tempoh terdekat dan bagaimana ia memberi kesan kepada langkah-langkah sekatan pergerakan dan impaknya kepada aktiviti ekonomi.

"BNM telah menyatakan dengan jelas bahawa inflasi bukan menjadi kebimbangan berdasarkan ia dijangka bersifat sementara, membayangkan pilihan untuk menyediakan akomodasi monetari tambahan yang terbuka luas.

"Bagaimanapun, kami percaya BNM mungkin mahu mengekalkan OPR selama mungkin berikutan mereka mahu mengekalkan ruang dasarnya. Kami cenderung untuk meletakkan OPR pada 1.75 peratus tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Profesor Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata penilaian BNM dan kadar dasar tidak berubah dapat memberikan sokongan terhadap pendapat bahawa pemulihan ekonomi negara mungkin terjejas tetapi dijangka tidak terganggu oleh peningkatan semula virus itu.

"Keputusan bank pusat untuk mengekalkan OPR adalah selari dengan majoriti ahli-ahli ekonomi dan penganalisis pasaran.

"Ia menyedari peningkatan dalam aktiviti ekonomi dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini dan mengenal pasti penurunan dalam momentum pemulihan berikutan sekatan pergerakan terkini tetapi terus optimis mengenai prospek pemulihan hingga tahun depan," katanya.

-- BERNAMA