Ringkasan AI
- Reman terhadap pengarah sebuah NGO disambung tiga hari lagi hingga Jumaat bagi siasatan kes pecah amanah melibatkan wang RM85,468.
- Majistret Mahkamah Kangar membenarkan lanjutan reman selepas tempoh empat hari berakhir, suspek berusia 31 tahun ditahan di KLIA2 pada Jumaat lepas.
- Wang NGO dipercayai dipindahkan ke akaun peribadi suspek melalui 32 transaksi antara 2 Mac hingga 20 Julai, kes disiasat bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
KANGAR: Reman terhadap pengarah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disambung tiga hari lagi hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes pecah amanah melibatkan wang pertubuhan itu berjumlah RM85,468.
Ketua Polis Perlis DCP Hamzah Hashim berkata lanjutan reman terhadap lelaki berusia 31 tahun itu dibenarkan Majistret Mahkamah Kangar Nurul Natasha Rizal selepas tempoh reman empat hari bermula Sabtu lepas berakhir hari ini.
Jumaat lepas, Hamzah dilaporkan berkata lelaki berkenaan ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di pintu ketibaan domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 11.05 pagi hasil maklumat dan risikan.
Beliau berkata wang milik NGO yang beralamat di Perlis itu dipercayai dipindahkan ke akaun peribadi suspek menerusi 32 transaksi antara 2 Mac hingga 20 Julai lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA