Ringkasan AI
- PBDS menetapkan penalti RM20 juta kepada calon yang melanggar perjanjian parti, termasuk meninggalkan parti, bagi menjaga keutuhan organisasi.
- Parti itu mempertaruhkan 26 calon untuk PRN Sarawak ke-13, dengan fokus kepada lapan kerusi majoriti Bidayuh untuk menyatukan masyarakat Bidayuh.
- Manifesto PBDS menekankan reformasi pentadbiran, meneruskan inisiatif kerajaan sedia ada, dan memperkenalkan program baharu untuk pembangunan Sarawak.
KUCHING: Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) menetapkan penalti sebanyak RM20 juta terhadap mana-mana calon yang melanggar perjanjian parti, termasuk tindakan meninggalkan parti, sebagai langkah melindungi keutuhan dan kelangsungan perjuangannya.
Presidennya, John Brian Anthony berkata, ketetapan itu dimasukkan dalam perlembagaan parti dan calon turut diwajibkan menandatangani kontrak khusus bagi memastikan mereka terikat dengan perjanjian berkenaan.
Menurutnya, jumlah penalti itu ditetapkan secara sengaja bagi menghalang mana-mana pihak daripada menggunakan kekuatan kewangan untuk mempengaruhi pemimpin atau calon PBDS sehingga menjejaskan kedudukan parti.
Beliau berkata, langkah itu turut mengambil iktibar daripada sejarah kejatuhan PBDS terdahulu yang didakwanya berpunca antaranya daripada tindakan beberapa pemimpin meninggalkan parti untuk menyertai parti lain.
“Jika Parti Dayak kembali bangkit dan mempunyai kekuatan, kemudian ada pihak yang mahu menjatuhkannya, mereka hanya perlu menawarkan wang sekali lagi.
“Jadi, tidak mengapa jika mereka menawarkan RM20 juta. Kita terima wang itu dan akan menggunakannya untuk membina parti ini menjadi lebih kuat. Itulah sebabnya kita menetapkan jumlah penalti RM20 juta,” katanya ketika sidang media selepas majlis penyerahan watikah calon PBDS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, di Kuching, pada Selasa.
John Brian berkata, tindakan meninggalkan parti bukan sekadar menjejaskan organisasi politik, malah boleh menghancurkan aspirasi dan perjuangan yang dibina sekian lama, selain memberi kesan kepada individu yang terlibat dalam gerakan parti terdahulu.
Dalam perkembangan berkaitan, PBDS mempertaruhkan 26 calon setakat ini bagi menghadapi PRN Sarawak ke-13, dengan kemungkinan satu atau dua lagi calon diumumkan selepas proses pengesahan dimuktamadkan.
John Brian berkata, parti itu turut memberi tumpuan kepada kesemua lapan kerusi majoriti Bidayuh dengan meletakkan calon PBDS di setiap kerusi berkenaan, sebagai sebahagian daripada usaha menyatukan masyarakat Bidayuh di bawah satu platform politik.
Beliau turut membangkitkan perbezaan pendekatan antara PBDS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bertanding menggunakan gabungan parti komponen berbeza di kerusi majoriti Bidayuh.
Mengulas persaingan di kerusi DUN Kakus, John Brian yang turut bertanding di kawasan itu dijangka berdepan penyandangnya, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk John Sikie Tayai, sekiranya beliau dinamakan sebagai calon GPS.
Selain itu, PBDS turut menggariskan tiga teras utama dalam manifestonya, merangkumi reformasi pentadbiran, meneruskan inisiatif kerajaan sedia ada yang dianggap baik serta memperkenalkan program baharu untuk pembangunan Sarawak.
Parti itu juga berharap penyertaannya dalam PRN kali ini dapat menarik lebih ramai golongan muda dan profesional Dayak menyertai perjuangan politiknya.