Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, keputusan untuk mengekalkan OPR itu berdasarkan situasi ekonomi maju yang tidak sekukuh jangkaan awal. Manakala pertumbuhan ekonomi membangun pula memperlahan.

Menurut BNM lagi, keadaan turun naik dan ketidakpastian pasaran kewangan pada masa ini juga telah menambah risiko pertumbuhan global yang lebih perlahan.

Bagi Malaysia, pertumbuhan didorong oleh permintaan dalam negeri.

Selain itu, pelaburan turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur dan perbelanjaan modal sektor perkilangan dan perkhidmatan meskipun pelaburan dalam sektor minyak dan gas lebih rendah.

Purata inflasi pada tahun 2015 ialah 2.1 peratus dan dijangka lebih tinggi pada 2016, berikutan pelarasan terkini harga ditadbir dan kadar pertukaran ringgit yang lebih lemah.

Dari segi kadar kenaikan, inflasi diunjurkan mencatat paras tertinggi pada suku pertama tahun 2016 dan menurun pada tempoh seterusnya.

Pada kadar semasa OPR ini, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi.