WASHINGTON: Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump pada Jumaat mengumumkan persetujuan antara Rusia dan Ukraine untuk melaksanakan gencatan senjata sementara di Bandar Oleshky di selatan Ukraine bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan memudahkan pemindahan orang awam yang ingin meninggalkan kawasan itu, lapor Anadolu Ajansi.
Gencatan senjata setempat itu dijadualkan bermula pada 29 Okt, menurut White House
“Keadaan di Oleshky amat kritikal. Oleshky ialah sebuah bandar di barisan hadapan peperangan yang berada di ambang bencana. Penduduk yang masih tinggal di Oleshky kebanyakannya terdiri daripada warga emas yang amat memerlukan rawatan perubatan, ubat-ubatan, makanan dan air bersih,” kata Melania Trump dalam kenyataannya.
“Penduduk Oleshky mempunyai bekalan elektrik yang terhad, tinggal di kawasan yang mempunyai jalan raya yang dipasang periuk api dan berdepan serangan ketenteraan secara berkala.
"Jelas sekali bahawa tanpa campur tangan saya, usaha membawa bantuan kemanusiaan ke bandar itu dan memindahkan warga emas mungkin adalah mustahil.”
Wanita pertama itu dan wakilnya bekerjasama secara langsung dengan kepimpinan Rusia dan Ukraine untuk menetapkan syarat gencatan senjata berkenaan, menurut White House.
Di bawah cadangan pengaturan itu, wakil orang awam dari Rusia dan Ukraine akan mengunjungi penduduk di kediaman masing-masing untuk menilai keperluan mereka dan menentukan bentuk bantuan yang diperlukan.
Penduduk yang memilih untuk meninggalkan bandar itu akan diberikan pengangkutan yang diselaraskan ke destinasi pilihan mereka, termasuk lokasi di Rusia atau Ukraine.
Pelan itu turut mencadangkan sebuah organisasi media Amerika menyertai pasukan Rusia dan Ukraine sepanjang operasi berkenaan bagi merakam serta mendokumentasikan proses itu.
Melania Trump berkata, dokumentasi bebas itu bertujuan membantu memastikan hasrat setiap keluarga dihormati sepanjang proses pemindahan.
Krisis kemanusiaan di Oleshky mendapat perhatian Melania Trump semasa satu perbincangan tertutup dalam acara “Fostering the Future Together” di New York City, yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-81.
Menurut kenyataan itu, antara 1,700 hingga 2,000 penduduk masih tinggal di Oleshky, termasuk kira-kira 50 kanak-kanak.
-- BERNAMA-ANADOLU