Bank Simpanan Nasional (BSN) melakar sejarah sebagai perintis perbankan Malaysia apabila memperkenalkan perkhidmatan Mesin Juruwang Maya (VTM) yang disifat bakal merevolusikan kaedah perbankan tradisional di negara ini.

Inovasi oleh BSN ini memberi pengalaman baharu kepada rakyat Malaysia sebagaimana yang sudah dinikmati penduduk Eropah, China, Kanada dan Amerika Syarikat.

Langkah inovatif sebagai bank pertama di Malaysia memperkenalkan VTM ini membolehkan juruwang BSN di semua cawangan di seluruh negara membantu cawangan lain yang mengalami kesesakan dengan melayan pelanggan melalui sidang video bagi menyelesaikan urusan perbankan mereka.

Dari kiri: Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Eksekutif BSN Datuk Adinan Maning ketika melancarkan Mesin Juruwang Maya (VTM) di Wisma BSN hari ini. - Gambar BSN

Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata langkah transformasi ini akan dapat menarik lebih ramai lagi rakyat Malaysia untuk menjadikan BSN sebagai bank pilihan mereka.

“Golongan muda terutamanya adalah segmen masyarakat yang amat penting bagi kami, maka sememangnya BSN perlu memenuhi tuntutan penggunaan teknologi dalam kehidupan golongan Gen-Y masa kini,” kata Abu Bakar.

Dari kiri: Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Eksekutif BSN Datuk Adinan Maning ketika melancarkan Mesin Juruwang Maya (VTM) di Wisma BSN hari ini. - Gambar BSN
Dalam fasa pertama, BSN menempatkan 93 unit VTM di 31 cawangan yang melibatkan 450 juruwang maya di seluruh negara dengan jumlah pelaburan sebanyak RM30 juta.

Buat masa ini, 80 peratus urus niaga kaunter boleh dilakukan di VTM, antaranya pertanyaan baki, deposit dan pengeluaran tunai, pemindahan wang antara bank, pembayaran bil, pembayaran balik pinjaman dan kad kredit serta simpanan Sijil Simpanan Premium.

Khidmat VTM akan dipertingkatkan lagi dengan penambahan ciri-ciri baharu seperti pembukaan akaun bank dan pengeluaran kad debit pada masa hadapan.

Dari segi keselamatan, VTM menggunakan MyKad dan sistem biometrik sebagai proses pengecaman identiti pelanggan.

Mesin ini dilengkapi dengan perakam video dan suara bagi memastikan pelanggan berurusan tanpa ragu-ragu.

Sistem VTM BSN ini dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid, pengenalan VTM bakal membawa sektor perbankan negara kepada era yang lebih mementingkan pelanggan dan tidak lagi terikat kepada perbankan konvensional.

Ahmad Zahid (kiri) menunjukkan kad debit BSN baharunya sambil disaksikan oleh Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar Abdullah. - Gambar BSN
“Saya lihat bahawa negara kita tidak boleh berada di dalam sistem perbankan yang konventional lagi dan di dalam hal inilah yang saya sebutkan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan melihat bahawa sistem perbankan kita mesti keluar dan terjun ke dalam bidang-bidang yang lebih luas dan lebih berbentuk customer-based."

“Apabila VTM dilancarkan, ianya bukan hanya dapat memberikan nilai tambah kepada sistem perbankan sedia ada malah kemudahan mesin ATM akan dipertingkatkan dan ini merupakan langkah-langkah terbaik. Justeru, kerajaan ingin memberikan pujian secara rasmi kepada Pengerusi, CEO, kepada Lembaga Pengarah dan semua kakitangan BSN,” kata Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya di Wisma BSN hari ini.

Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi BSN selama enam tahun sejak tahun 1993 mengakui kagum dengan transformasi BSN yang tidak pernah terlintas di fikirannya suatu ketika dahulu.