Bursa Malaysia mencatatkan kejatuhan paling buruk sejak krisis subprima pada 2008, menyusul kejutan pasaran Amerika Syarikat pada Khamis.

Pada penutup FBM KLCI jatuh 74.68 mata atau 5.26 peratus kepada paras 1,344.75 mata. Ia mencecah tahap terendah pada 1,320.96 mata semasa dagangan Jumaat.

Bursa Malaysia susut 6.27 peratus semasa mengakhiri dagangan sesi pagi susulan penjualan di seluruh papan.

Rakuten Trade menerusi nota penyelidikannya berkata kepanikan mempengaruhi pasaran di seluruh dunia, berikutan kebimbangan mengenai COVID-19, juga mendorong Rizab Persekutuan AS mengumumkan suntikan mudah tunai bernilai AS$1.5 trilion ke dalam sistem kewangannya, yang seakan-akan permulaan bagi kelonggaran kuantitatif untuk menenangkan pasaran, lapor Bernama.

Pasaran saham AS mengalami kejutan pada Khamis, menyebabkan ia terpaksa menggantung dagangan selama 15 minit susulan pengumuman Presiden Donald Trump yang mengenakan sekatan perjalanan kepada pengunjung dari Eropah.

Penggantungan dagangan berkenaan merupakan kali yang kedua untuk minggu ini.

Tindakan berkenaan dikhuatiri menjejaskan permintaan terhadap minyak mentah yang sudahkan terjejas teruk susulan perang harga yang tercetus beberapa hari lalu.