Skip to main content

Malaysia

Lawatan rasmi Anwar buka laluan baharu kerjasama ekonomi, teknologi Malaysia-Jepun - Duta

TOKYO, 8 Jun -- Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abdul Ghany mengadakan sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun bermula 8 hingga 10 Jun 2026 di Kedutaan Malaysia di Tokyo, hari ini.  Pemimpin Malaysia itu dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Sanae Takaichi dan menyampaikan ucapan dasar pada Forum Nikkei ke-31.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abdul Ghany mengadakan sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun. - Foto Bernama

TOKYO: Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun akan menyediakan peluang strategik kepada Malaysia untuk meneroka kerjasama dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi serta bina upaya yang terus menjadi agenda penting bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif di peringkat antarabangsa.

Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata pemeteraian empat Memorandum Kerjasama dan dua Surat Hasrat antara Malaysia dan Jepun akan dilaksanakan semasa lawatan itu.

Beliau berkata pemeteraian tersebut melibatkan bidang pertahanan dan keselamatan serantau, kesihatan, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar serta kerjasama pendidikan tinggi. 

“Malaysia dan Jepun bakal memuktamadkan satu Kenyataan Bersama bagi tujuan menterjemahkan komitmen kepimpinan kedua-dua negara dalam usaha melonjakkan kerjasama dua hala ke tahap yang lebih tinggi, selaras dengan hubungan dua hala yang telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif,” katanya kepada media Malaysia di bangunan kedutaan, di sini hari ini.

Shahril Effendi berkata lawatan tersebut adalah lawatan rasmi pertama Anwar ke Jepun sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022.

Anwar telah mengadakan dua lawatan kerja di Jepun iaitu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan bersempena dengan 50 tahun Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun pada 2023 serta Persidangan Antarabangsa Nikkei pada 2024.

Lawatan untuk memenuhi undangan kerajaan Jepun kali ini akan dimulai dengan Majlis Sambutan Rasmi  di Pejabat Perdana Menteri Jepun dan disusuli dengan mesyuarat dua hala antara delegasi kedua-dua negara yang akan diketuai Anwar dan rakan sejawatan Sanae Takaichi, katanya.

Beliau berkata Anwar juga dijadualkan menghadiri dan menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31 yang bertemakan “Working Together for a More Resilient and Prosperous Asia” pada Rabu, 10 Jun.

Persidangan itu akan menghimpunkan kalangan pemimpin kerajaan, tokoh korporat dan birokrat, serta pakar bidang dari seluruh dunia untuk membincangkan dinamik geopolitik serta hala tuju pembangunan ekonomi di rantau Asia.

Ucaptama Perdana Menteri bertajuk “Navigating Strategic Uncertainty” dijangka menekankan peranan Malaysia dalam mengemudi landskap geopolitik yang kompleks, termasuk dalam menangani cabaran yang timbul akibat ketidaktentuan global serta meneroka peluang strategik yang berpotensi untuk dimanfaatkan, ke arah menjamin kemakmuran rantau Asia demi kepentingan dan manfaat bersama.

“Ucaptama beliau akan menyerlahkan pengaruh Malaysia di persada antarabangsa yang sentiasa berperanan aktif dalam isu serantau dan global. Dalam masa yang sama, akan memperkukuhkan profil dan imej negara sebagai sebuah negara yang progresif dan berdaya tahan serta komited terhadap kerjasama serantau dan global,” katanya.

Anwar turut dijadualkan mengadakan lawatan ke University of Tokyo bagi menyampaikan Ucapan Khas bertajuk “Humanity in a Human-Machine Civilisation”, yang akan menyentuh mengenai kepentingan dalam mengimbangi nilai kemanusiaan dalam pembangunan ekonomi negara, terutama di era kecerdasan buatan (AI) berkembang dengan pesat.

Perdana Menteri akan menghadiri Sesi Meja Bulat bersama 29 tokoh perniagaan dan ketua industri Jepun yang terpilih selain mengadakan mesyuarat dengan pihak syarikat Jepun sekali gus mengenengahkan kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan rakan dagang dalam usaha menarik pelaburan berkualiti dari Jepun.

Bagi mesyuarat dengan syarikat Jepun, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan pihak daripada enam syarikat iaitu Shizen yang melaksanakan pembangunan tenaga boleh baharu, khususnya tenaga solar, angin dan penyelesaian peralihan tenaga lestari.

Syarikat lain ialah Denso yang menjalankan perniagaan dalam teknologi automotif, termasuk komponen kenderaan, elektrifikasi, automasi dan mobiliti pintar serta Eneos pula dalam sektor tenaga, termasuk petroleum, gas, hidrogen, bahan kimia  dan penyelesaian tenaga mampan.

Marubeni pula menjalankan perniagaan dalam sektor tenaga, infrastruktur, makanan, pertanian dan pembangunan industri manakala IBM dalam teknologi maklumat, termasuk AI, pengkomputeran awan, keselamatan siber dan transformasi digital.

Mitsubishi pula terlibat dalam sektor tenaga, industri, automotif, teknologi dan pembangunan infrastruktur.

Dalam lawatan rasmi selama tiga hari berakhir Rabu, Anwar akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong serta pegawai kanan kerajaan.

Sementara itu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan yang sebelum ini dijadual turut mengiringi Anwar, berdasarkan kenyataan Wisma Putra semalam, membatalkan kehadiran.

“Pada saat-saat akhir, Menteri Luar terpaksa membatalkan kehadirannya,” kata Duta Besar.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement