GEORGE TOWN: Pulau Pinang tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan rumah tangga tanpa mengira pangkat, jawatan, latar belakang atau kedudukan seseorang dalam masyarakat, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim.
Beliau berkata tiada mana-mana individu seharusnya menerima layanan berbeza hanya kerana jawatan atau kedudukan yang disandang.
“Sama ada melibatkan orang awam, individu berpengaruh mahupun wakil rakyat, setiap individu tertakluk kepada undang-undang yang sama.
“Kita perlu memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mereka. Pada peringkat ini, adalah tidak wajar untuk membuat sebarang kesimpulan atau menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana pihak sebelum fakta sebenar dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas dakwaan keganasan rumah tangga yang melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.
Lim berkata kes berkenaan turut menjadi peringatan bahawa keganasan rumah tangga merupakan isu sosial serius yang memerlukan perhatian serta tindakan berterusan, termasuk memastikan mangsa mengetahui saluran bantuan yang tersedia dan mempunyai akses kepada perlindungan, khidmat nasihat serta sokongan sewajarnya.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang ADUN mencederakan isterinya dan setakat ini keterangan empat individu termasuk pasangan berkenaan telah dirakam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan negeri terus memperkukuh usaha pencegahan dan penanganan keganasan rumah tangga menerusi kerjasama dengan Women’s Centre for Change (WCC), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) serta pelbagai agensi berkaitan, termasuk menerusi Dasar Keluarga Selamat yang diperkenalkan pada 2020.
Beliau berkata menerusi pembangunan rangkaian First Support Point (FSP) atau Pusat Sokongan Pertama, petugas barisan hadapan daripada pusat khidmat ADUN, jabatan kerajaan, organisasi komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diberikan latihan untuk menyediakan bantuan awal kepada mangsa serta menghubungkan mereka dengan agensi bersesuaian bagi mendapatkan sokongan lanjut.
Setakat 31 Okt lepas, sebanyak 646 individu daripada komuniti dan organisasi berkaitan di seluruh Pulau Pinang telah menerima latihan sebagai sebahagian daripada rangkaian sokongan itu.
Beliau berkata kerajaan negeri melalui PWDC turut memperkenalkan aplikasi mudah alih Penang Stop Violence bagi membolehkan individu yang berhadapan dengan keganasan mengenal pasti lokasi FSP berhampiran serta mendapatkan maklumat mengenai saluran bantuan yang tersedia.
-- BERNAMA