MELAKA: Kerajaan bercadang membangunkan kira-kira 50 depoh susu getah atau lateks tahun depan bagi memperkukuh pengeluaran hasil getah tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import lateks.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha mempergiat pengeluaran lateks dalam negara bagi memenuhi keperluan industri berasaskan getah, dengan nilai import bahan berkenaan kini mencecah RM7 bilion setahun.
“Tujuannya ialah untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengeluarkan sendiri lateks supaya kita tidak perlu lagi import bahan ini untuk digunakan oleh industri yang berasaskan getah.
"Sehingga kini, sebanyak 137 lokasi depoh lateks telah dikenal pasti di seluruh negara, dengan 30 daripadanya sudah dimulakan," katanya selepas merasmikan Program Salam Agrokomoditi MADANI@ Melaka di Tanjung Kling di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Ketua Pengarah LGM Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata penambahan depoh itu juga akan membolehkan urusan pusat pengumpulan serta pembelian lateks diselaraskan antara RISDA dan LGM.
Beliau berkata teknologi baharu pengeluaran getah akan mula dilaksanakan di Semenanjung tahun depan selepas pembuktian konsepnya dimulakan di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama pelbagai pihak menerusi teknologi itu mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil termasuk membolehkan hasil getah terus dikeluarkan ketika musim tengkujuh.
"Pendekatan ini juga akan membolehkan pokok getah tua terus digunakan untuk pengeluaran hasil berbanding menerusi kaedah torehan konvensional,” katanya.
Zairossani pula berkata teknologi penorehan secara tebuk atau puncture tapping yang membolehkan lateks dikumpul menerusi sistem tertutup termasuk ketika hujan akan diperkenal di kawasan bersesuaian di Semenanjung tahun depan bagi membantu menangani kekurangan penoreh dan meningkatkan produktiviti.
Beliau berkata pelaksanaan kaedah itu akan dibuat menerusi kluster dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang berdepan masalah kekurangan penoreh getah seperti di Perak.
"Teknologi ini menggunakan kaedah tebukan pada pokok getah dan sistem saluran yang membawa lateks ke dalam bekas tertutup sekali gus melindungi hasil berkenaan daripada hujan.
“Jadi, bila kita kumpulkan lateks dalam satu bekas yang tertutup, terutama pada waktu hujan, ia tidak akan timbulkan masalah kepada penoreh untuk mengutip hasil," katanya.
Zairossani berkata teknologi torehan secara tebuk telah diperkenal sejak 1980-an namun kini ditambah baik bagi memenuhi keperluan semasa industri itu khususnya dari segi tenaga kerja, produktiviti dan kualiti hasil.
Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan teknologi itu bergantung pada kesesuaian pokok dan keadaan kawasan serta tidak menggantikan sepenuhnya kaedah torehan konvensional.
“Jadi, dalam kluster yang kita akan perkenalkan teknologi tersebut, kita akan lihat kesesuaian sebab teknologi hanya boleh dipakai untuk pokok dan keadaan tertentu sahaja.
"Setiap pokok memerlukan satu peralatan berkenaan, dengan kaedah tebukan lebih mudah dikendalikan berbanding torehan biasa yang memerlukan kemahiran bagi mengelakkan kerosakan pada pokok," katanya.
-- BERNAMA