Skip to main content

Malaysia

Atlet lontar peluru muda Sabah sasar layak ke Sukan SEA 2027

Earl Isaac berkata sokongan penaja serta peluang pendedahan menyertai pertandingan di luar negara sebagai keperluan paling mendesak ketika ini. - Gambar Bernama
Earl Isaac berkata sokongan penaja serta peluang pendedahan menyertai pertandingan di luar negara sebagai keperluan paling mendesak ketika ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KOTA KINABALU: Atlet lontar peluru muda Sabah Earl Isaac Mitzler Fredolin yang merangkul emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, menyasarkan untuk layak beraksi di pentas Sukan SEA 2027.

Bagi merealisasikan impiannya, atlet berusia 18 tahun itu yang dibimbing jurulatih Suhaimin Kinso bertekad untuk mencatat lontaran melebihi 17 meter (m) secara konsisten sebagai penanda aras bagi memburu tempat ke temasya dwitahunan itu.

Sebelum ini, Earl Isaac melakar sejarah menjuarai acara lontar peluru lima tahun berturut-turut di pentas Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), malah berjaya memecahkan rekod kejohanan menerusi lontaran 18.42 m pada edisi tahun ini.

Advertisement

Beliau turut menetapkan sasaran untuk memecahkan rekod SUKMA yang dipegang Jonah Chang Rigan dari Sarawak menerusi lontaran sejauh 17.66 m pada 2024.

"Saya percaya mampu lakukannya (layak Sukan SEA dan pecah rekod SUKMA pada edisi akan datang) tetapi saya perlu kekalkan prestasi dan pastikan latihan konsisten bersama jurulatih," katanya kepada Bernama.

Advertisement

Mengulas persediaan fizikal ke kategori terbuka, Earl Isaac berkata peralihan beban peluru memerlukan strategi rapi dengan membiasakan lontaran 6 kilogram (kg) sebelum beralih sepenuhnya kepada spesifikasi 7.26 kg.

Beliau berkata sokongan penaja serta peluang pendedahan menyertai pertandingan di luar negara sebagai keperluan paling mendesak ketika ini.

Dari aspek mental, Earl Isaac berkata beliau telah bersiap sedia sebagai seorang pencabar sejak di bangku sekolah dan bersedia menentang mana-mana pesaing handalan.

Menceritakan kejayaan memecahkan rekod MSSM tahun ini, ia hadir selepas hampir setahun beliau berdepan kebuntuan melepasi jarak 18 meter sejak kali terakhir mencatatkannya pada kejohanan Kontinjen Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) Tambunan 2025.

Lontaran bersejarah itu terhasil menerusi program fasa pengurangan beban latihan atau tapering yang dirangka Suhaimin dua minggu sebelum kejohanan, menyaksikan intensiti latihan diturunkan daripada 100 peratus kepada 60 peratus bagi menyegarkan kembali tahap kecergasan fizikalnya.

Earl Isaac berkata ketajaman memori otot yang diasah menerusi latihan latihan selama bertahun-tahun membolehkannya cukup yakin dengan lontaran tersebut mampu memecahkan rekod.

Detik kejayaan itu membuatkannya mengalirkan air mata di atas podium apabila mengenang kepayahan serta pengorbanan bersama Suhaimin sepanjang tempoh lima tahun dibimbing jurulatih berkenaan.

"Perkara pertama saya terfikir ialah jurulatih saya, kerana setiap kali sesi latihan dia akan sebut 'kita mahu pecahkan rekod itu', jadi sejurus memecahkan rekod, saya cari dia di kerumunan orang dan berkata 'ini untuk anda jurulatih'," katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu, bapa dan keluarganya yang sentiasa memberikan sokongan sebelum serta selepas setiap kejohanan.

Menitipkan pesanan kepada atlet pelapis, Earl Isaac mengingatkan bakat muda agar sentiasa merendah diri dan tidak leka apabila berada di puncak kejayaan demi mengelakkan kekesalan pada masa hadapan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement