KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor meningkat manakala di Perak berkurangan setakat 8 pagi ini.
Di SELANGOR, jumlah mangsa di tujuh PPS meningkat kepada 1,248 mangsa daripada 338 keluarga pagi ini berbanding 1,144 mangsa daripada 318 keluarga pada petang semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela menempatkan 393 mangsa diikuti Sekolah Rendah Agama Bukit Kuching (281), SK Parit Mahang (318), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (71) dan Kafa Integrasi Hidayah (122).
Dewan Komuniti Penyayang Tanjung Siam pula menempatkan 50 mangsa manakala Dewan Orang Ramai Hulu Bernam, Hulu Selangor 13 mangsa.
Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa banjir di daerah Hilir Perak berkurangan kepada 288 orang daripada 83 keluarga berbanding 301 orang daripada 87 keluarga yang direkodkan petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) menempatkan 268 mangsa daripada 78 keluarga manakala 20 mangsa daripada lima keluarga di PPS Dewan MPTI Langkap.
Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras air di Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah mencatatkan paras amaran dengan bacaan 9.14 meter (m) manakala Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa daerah mengalami ribut serta hujan pada petang dan malam ini.
-- BERNAMA